Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan — Malam Santun Puisi anjuran Kelab Teater Rajuk Pahang telah berlangsung pada 21 Disember di perkarangan Stadium Darul Makmur, Kuantan. Program tersebut diadakan sempena Mesyuarat Agung Tahunan Kelab Teater Rajuk Pahang yang dihadiri hampir 100 orang tetamu termasuk daripada luar negara.
Majlis tersebut dirasmikan oleh YB Dato’ Ir Razali Kassim, EXCO Kerajaan Negeri Pahang. Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada Kelab Teater Rajuk atas penganjuran yang berjaya mengumpulkan khalayak pelbagai lapisan masyarakat. Menurutnya, kejayaan Rajuk mengadakan majlis tersebut membuktikan keutuhan organisasi tersebut dalam memacu gerakan seni di negeri ini. Katanya,
Seni bukan sekadar budaya, sastera bukan hanya catatan. Kedua-duanya ialah cerminan akal budi bahasa bangsa.
Beliau turut berkesempatan mendeklamasikan puisi bertajuk “Salam Dari Hati” karya HM Nordin.

Panggung dibuka dengan persembahan yang memukau dan diselangselikan dengan hadiah cabutan bertuah kepada pengunjung yang hadir. Malam yang meriah tersebut dimulakan dengan Gurindam Puisi Pujangga oleh Niswah Syahidah, diikuti Baiq Nur Hani Balqis yang menyampaikan lagu Umpan Jinak di Air Tenang. Baiq yang juga merupakan mantan peserta realiti The Choosen One menghangatkan suasana dengan lenggok suara yang memanjangkan nostalgia penonton. Adik Al-Fateh Abid, deklamator cilik berusia 6 tahun tampil dengan mendeklamasikan sajak penuh perasaan bertajuk “Dalam Kasih Mu”, sebelum pentas digamatkan lagi oleh persembahan kumpulan Anak Kayan serta lagu rakyat Nyior Sebatang oleh Along Syed.
Sorakan penonton semakin memuncak apabila Kelab Teater Rajuk sendiri mementaskan sketsa Pesan Bahaman, sebuah karya AK Hidayat yang juga merupakan Presiden Kelab Teater Rajuk. Sketsa tersebut mengetengahkan warisan perjuangan Pahang dengan penuh dramatik. HM Nordin kemudian kembali dengan mendeklamasikan sajak bertajuk “Perjuangan Yang Sia-Sia”, diperkemaskan dengan iringan silat oleh Cikgu Mazlan daripada Silat Sangkar Rewana, sementara Cikgu Umran mengalunkan lagu puisi “Puteri Diana”.

Acara turut diserikan oleh kehadiran tetamu jemputan yang mengambil bahagian secara langsung dalam persembahan. Penolong Pengarah Pahang 1st, Encik Mohd Johari Awang Sazali, tampil dengan persembahan sajak yang menerima tepukan hangat, manakala Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri (JKKN) Pahang, YBrs Encik Mohd Rizal Ismail, mempersembahkan sajak “Pulau Chekas” yang sarat citra setempat.
Kehadiran dua aktivis teater dari Medan, Indonesia, Pak Yusryanto dan Pak Shahril, mencuri perhatian melalui monolog dan puisi bertajuk “Burung” yang menggamit rasa serumpun penonton. Tidak ketinggalan, Dr Shafa’atussara Silahudin dari Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, menggetarkan jiwa hadirin dengan alunan Gurindam 12 yang penuh hikmah dan makna.

Kemuncak malam tersebut dilengkapkan dengan persembahan penutup oleh kumpulan legenda puisi Malaysia, Kopratasa, yang dianggotai Usop dan Siso dengan iringan muzik oleh Kumpulan Anak Kayan. Dua lagu abadi mereka, Permata Untuk Isteri dan Masihkah Kau Ingat, membawa para penonton menyusuri kembali jalur kenangan yang mendalam dan mengikat jiwa penonton kepada warisan seni suara dan puisi negara.
Encik Mohd Johari Awang Sazali ketika ditemui menyatakan kekagumannya terhadap program yang dianggapnya meriah dan menarik serta membuktikan bahawa masyarakat Pahang masih mendambakan acara seni dan budaya yang berkualiti. Beliau turut memaklumkan bahawa Pahang 1st melalui Kluster Seni Budaya akan merancang lebih banyak lagi program dan Kelab Teater Rajuk akan terus dilibatkan secara langsung.
Turut hadir memeriahkan malam penuh makna ini ialah YH Dato’ Aripin Said, tokoh budaya Pahang, Tuan Haji Shaiful Azizi Shukri, Pegawai Pendidikan Daerah Kuantan, Encik Teo Wei Sing, Pegawai Khas KDPM Tengku Mahkota Pahang, Puan Maria Hamzah, wakil rasmi Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang, Tuan Haji Asmui Mustapa, Naib Presiden Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) dan Encik Zulkefli Hussin, Setiausaha Majlis Kebudayaan Negeri Pahang (baharu).
Para tetamu menikmati jamuan sambil menyaksikan persembahan yang penuh disiplin seni dan citra budaya, menjadikan Malam Santun Puisi bukan sahaja sebuah acara, tetapi suatu pengalaman yang meneguhkan kembali bahawa Pahang masih utuh sebagai bumi puisi, budaya dan budi.