Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Program Eksplorasi Digital @ u-Pustaka memperkenalkan aplikasi bacaan interaktif Me Books, yang menawarkan pengalaman membaca, mendengar dan berinteraksi secara digital untuk seisi keluarga.
Program anjuran Kementerian Perpaduan Negara melalui Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) serta platform u-Pustaka itu bertujuan memperkukuhkan literasi digital masyarakat serta memperkenalkan pangkalan data digital yang boleh diakses oleh masyarakat.
Sesi bersama Me Books menampilkan Siti Baizurah Osman, pengurus projek merangkap jurulatih Me Books yang telah menunjukkan demonstrasi penggunaan aplikasi tersebut. Me Books merupakan aplikasi tempatan yang menampilkan ratusan judul buku cerita bergambar dan audio interaktif dalam pelbagai bahasa, termasuklah bahasa Thailand.

Menerusi inisiatif PNM, pengguna berdaftar di u-Pustaka boleh mendapatkan akses kepada aplikasi Me Books secara percuma yang kini menjadi satu daripada pangkalan data rasmi melalui portal tersebut. Pengguna bukan sahaja boleh membaca, malah mendengar narasi dan merakam suara sendiri dalam pelbagai judul buku cerita interaktif.
Me Books bukan sahaja memuatkan judul terbitan penerbit tersohor seperti Ladybird dan Oxford University Press, malah turut menerbitkan buku keluaran sendiri. Sebagai contoh, buku bertajuk Fara Sayang Haiwan, kolaborasi bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar, telah diedarkan ke sekolah sebagai satu daripada usaha untuk meningkatkan kesedaran tentang kebajikan haiwan dalam kalangan murid sekolah rendah.
Terbaharu, menerusi kerjasama dengan World Wildlife Fund (WWF), buku berjudul Lost and Found bakal dilancarkan sekitar Disember ini.
Menurut Siti Baizurah, “fokus Me Books ialah kepada aktiviti mendengar dan pembelajaran aktif. Kami percaya langkah pertama kepada pembelajaran kanak-kanak bermula dengan mendengar.”
Beliau menegaskan bahawa aplikasi Me Books tidak berfungsi seperti buku audio atau video yang dimainkan secara automatik, sebaliknya menekankan pembelajaran aktif melalui ciri tap-to-hear dan read aloud.
Program yang disertai oleh kira-kira 170 peserta diakhiri dengan sesi Read Aloud: Aaaarrgghh, Spider tulisan Lydia Monks termasuk kuiz kepada para pendengar.
Bagi mendapatkan akses ke portal u-Pustaka, pendaftaran boleh dibuat menerusi laman sesawang rasmi u-Pustaka.