Diterbitkan pada 18 November 2025, 11:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Tanjong Malim – Bengkel Metodologi Penyelidikan Kualitatif yang melibatkan pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) Kesusasteraan Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah membuka ruang kefahaman baharu dalam menelusuri makna di sebalik data yang tidak dapat diukur secara kuantitatif. Bengkel tersebut diadakan di Anjung 2, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UPSI

Bengkel yang dikendalikan oleh Dr. Siti Nor Amalina, pensyarah di Jabatan Bahasa dan Komunikasi itu merupakan sebahagian daripada projek tahun akhir bagi kursus tersebut. Program tersebut diadakan adalah untuk membimbing pelajar memahami asas, konsep dan aplikasi penyelidikan kualitatif dalam bidang kesusasteraan.

Menurut Dr. Amalina, penyelidikan kualitatif memberi ruang kepada penyelidik untuk menelusuri makna yang tidak dapat diukur secara angka tetapi penting dalam memahami manusia dan budaya. Beliau turut menekankan kepentingan interpretasi dalam penyelidikan kualitatif. Menurutnya, dapatan yang diperoleh melalui pengalaman, pemerhatian dan tafsiran penyelidik mampu membawa kepada penemuan baharu.

Ada perkara yang tidak boleh diukur tetapi sangatlah penting. Contohnya ialah kebahagiaan. Kamu tidak mampu mengukurnya tetapi boleh menerangkannya, maka itulah kualitatif.

Bengkel ini turut mengetengahkan beberapa jenis analisis seperti analisis kandungan, tematik, wacana, perbualan dan naratif. Menariknya, analisis data juga boleh menggunakan majalah Dewan Bahasa dan Pustaka yang lebih mudah diakses sekarang.

Bengkel ini turut memberi kesedaran kepada peserta tentang nilai refleksi kendiri dalam penyelidikan. “Tafsiran kita ialah berasaskan kepada pengalaman diri sendiri – itulah yang dikatakan kualitatif,” jelas beliau lagi sambil menggalakkan pelajar mempraktikkan pemikiran reflektif dalam penulisan akademik.

Dengan penganjuran bengkel ini, pelajar bukan sahaja memperoleh pemahaman teori dan teknik penyelidikan, bahkan menanam sikap peka terhadap makna dan nilai yang tersirat dalam data kualitatif.

Turut hadir dalam bengkel ini ialah Dr. Rohayati Junaidi selaku pensyarah Kesusasteraan Melayu UPSI.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi