Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Terengganu – Siti Nurzulaikha Adam atau lebih dikenali dengan penanya, iaitu Zulaikha Adam, merupakan anak kelahiran Terengganu pertama yang menerima Anugerah Penulis Harapan Terengganu dalam Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Darul Iman (HASDI) VII yang berlangsung di The Grand Puteri Hotel, Kuala Terengganu pada 15 November 2025 lalu.
Anugerah tersebut yang disampaikan oleh Timbalan Pengerusi Pelancongan, Kebudayaan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, YB Ustaz Sulaiman Sulong, julung kali diperkenalkan pada tahun ini. Penganugerahan tersebut membolehkan beliau membawa pulang wang tunai sebanyak RM3,000 dan sijil iringan.

Beliau yang berkelulusan Jurusan Linguistik Melayu dari Universiti Malaya merupakan penulis versatil dan telah menghasilkan puluhan karya serta meraih beberapa anugerah seperti Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) sepanjang pelibatan dalam dunia penulisan.
Mengulas impak penerimaan anugerah tersebut dalam kariernya, Zulaikha Adam mengakui bahawa menggalas peranan sebagai penulis muda bukanlah hal yang mudah.
“Penulis muda perlu sentiasa menulis dan menghasilkan karya yang segar. Penulis muda juga sekarang tercabar dengan karya yang dihasilkan secara AI. Kami harus memiliki jati diri yang kuat dan tidak mengambil jalan mudah dengan menghasilkan karya secara AI atau menciplak karya orang lain,” ujar beliau yang sangat bersyukur atas keputusan panel penilai HASDI VII.
Menyentuh soal perkara penting yang dipelajarinya sepanjang berkecimpung dalam dunia penulisan, beliau mengatakan bahawa prinsip asas menulis ialah tidak menulis untuk diri sendiri tetapi memberikan sesuatu yang bermakna buat masyarakat.
“Sewaktu kita menulis untuk masyarakat, kita akan berusaha sedaya upaya mencipta karya yang bermanfaat dan bukan picisan atau sekadar hiburan,” katanya lagi.
Beliau turut menggalakkan barisan penulis muda untuk teruskan berkarya. Ujarnya,
Usah letakkan anugerah atau hadiah sebagai sasaran kerana jika kita gagal mendapatkan anugerah itu, maka kita akan kehilangan motivasi untuk menulis. Menulislah untuk memanusiakan manusia lain. Kita akan berasa bahagia sewaktu masyarakat membaca karya kecil kita dan mendapat kebaikan daripadanya.
Beliau yang kini berkhidmat sebagai guru di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) turut berharap bahawa melalui pengiktirafan tersebut, maka beliau akan dapat menghasilkan lebih banyak karya yang memberi impak kepada sastera tanah air pada masa akan datang.