Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Terengganu – Hadiah Sastera Darul Iman (HASDI) VII terus mengangkat landskap susastera tempatan dengan turut mengiktiraf karya generasi muda.
Perkara ini dibuktikan melalui penganugerahan terhadap dua puisi terbitan majalah Tunas Cipta, meraikan dua orang penulis bawah 21 tahun dan melalui anugerah Penulis Harapan Negeri Terengganu.
Bagi kategori puisi remaja eceran, puisi “Berjuta Kasih Ibu” nukilan Zulaikha Adam yang disiarkan dalam Tunas Cipta (April 2024) dan puisi “Aku, Pelangi dan Layang-layang” nukilan Rozita Mohamed Baki atau nama penanya, Guru Kidal, disiarkan dalam Tunas Cipta (Februari 2023) terpilih dengan menerima hadiah penghargaan.

Kedua-dua penulis membawa pulang wang tunai sebanyak RM600 dan sijil penghargaan.
Sementara itu, penerima hadiah galakan bagi kategori Karya Kreatif Eceran: Penulis Bawah 21 Tahun, mengiktiraf karya Aina Huda Aminuddin menerusi puisi “Dalam Runtuhan” dalam Antologi Bianglala Terindah dan Alya Husna Azha Ahmad dengan puisi “Bicara” dalam Antologi Tentang Rasa.


Kedua-dua karya mereka diterbitkan oleh Bulan Terbit pada tahun 2023 dengan masing-masing turut membawa pulang wang tunai sebanyak RM500 dan sijil.
HASDI turut memperkenalkan anugerah Penulis Harapan Negeri Terengganu yang buat julung kalinya diperkenalkan pada tahun ini dengan mengumumkan pemenang sulungnya, iaitu Zulaikha Adam.
Dalam ucapan perasmian, Timbalan Pengerusi Pelancongan Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, YB Ustaz Sulaiman Sulong yang mewakili YAB Menteri Besar Terengganu, YAB Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan bahawa HASDI tidak hanya mengiktiraf jasa para karyawan, malah turut menyalakan semula semangat cinta akan ilmu, budaya dan bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda.
Majlis Penyampaian HASDI VII merupakan acara dwitahunan tajaan Kerajaan Negeri Terengganu yang diselenggarakan oleh Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA) dengan kerjasama dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA).