Diterbitkan pada 10 November 2025, 09:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pulau Pinang — Anugerah Sastera Negeri Pulau Pinang (ASNPP) ke-2 2025, pada tahun ini menyaksikan kemunculan gelombang penulis muda yang semakin menonjol dalam lapangan kesusasteraan tempatan, sekali gus menandakan kesinambungan tradisi penulisan kreatif negeri ini yang lebih segar dan berwibawa.

Majlis yang berlangsung di Hotel Crowne Plaza Penang Straits City, semalam, memberikan pengiktirafan kepada penulis yang memperlihatkan kekuatan karya melalui tiga kategori yang merangkumi genre seperti puisi, cerpen, drama, televisyen, radio pelantar digital, adaptasi, esei/kritikan sastera dan novel.

Antara penerima tumpuan ialah Afrina Aziz, 25, yang memenangi Kategori B: Karya Eceran Esei/Kritikan Sastera melalui esei “Pengaplikasian Teori Kontigensi yang Tidak Wujud dalam Naratif Ogoshonto”. Esei tersebut yang meneliti karya Naratif Ogonshoto melihat unsur ketidaktentuan, pilihan dan kebarangkalian membentuk jalan cerita serta tindakan watak. Kongsi Afrina ketika diwawancara oleh Jendela Tunas Cipta,

Dalam karya ini, kuasa politik dan kepimpinan digambarkan terlalu mutlak dan menindas, maka tidak wujud ruang untuk keputusan yang fleksibel seperti yang ditekankan oleh teori kontingensi. Secara mudahnya, makalah ini cuba menunjukkan bahawa sistem pemerintahan yang dipaparkan dalam karya ini gagal mencerminkan kepimpinan yang responsif terhadap keadaan masyarakat.

Turut mencuri perhatian ialah Muhammad Afif Zulhusni Azhar, 27, yang memenangi penghargaan khas Anugerah Penulis Harapan dan Kategori B: Karya Eceran Esei/ Kritikan Sastera melalui esei “Teori Monomyth di Sebalik Mitos Awang Sulung Si Jambul Lebat”, yang dinilai sebagai lambang kematangan awal seorang penulis muda yang sedang berkembang.

Sementara itu, bagi kategori A: Buku Sastera Dewasa, Nur Adilla Abdul Rahim, tampil sebagai pemenang menerusi antologi Tumbuh Menjadi Pohon Sakura.

Dalam majlis yang sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, YB Dato’ Seri Haji Zulkifli Long dalam ucapan alu-aluannya turut menekankan tentang komitmen berterusan kerajaan negeri dalam mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, wahana ilmu dan penyatu rakyat.

Anugerah ini digambarkan sebagai cerminan negeri yang menghargai tulisan dan perjuangan bangsa melalui karya kreatif. Majlis ini bukan sekadar anugerah, tetapi juga cerminan jiwa sebuah negeri yang menghargai tulisan, yang percaya bahawa pena itu lebih tajam daripada pedang dan bangsa yang berbahasa merupakan bangsa yang berdaulat.

Anugerah Sastera Negeri Pulau Pinang anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang melalui kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka, Jabatan Penerangan, Jabatan Pendidikan, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara serta Jabatan Penyiaran, Lembaga Muzium Negeri ini  dijangka diteruskan sebagai acara dwitahunan.

Yang turut hadir, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Haji Ramli Ngah Talib; Yang Mulia Toh Puan Hajah Dato’ Seri Utama Noora Ashikin Raja Abdullah; Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, YB Dato’ Seri Haji Zulkifli Long; YBhg. Datin Seri Hajah Faziah Johari dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, YBrs. Dr. Hazami Jahari.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi