Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Golongan belia masih memilih untuk membeli dan membaca novel yang bertemakan percintaan. Itulah rumusan daripada pembentangan oleh Dr. Jeffrey Lawrence dalam majlis Wacana Kajian Persepsi Belia terhadap Novel Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang berlangsung semalam.
Hal itu dinyatakannya menerusi kajian secara kuantiti deskriptif menerusi tinjauan dan borang kaji selidik. Populasi dan sampel kajian tersebut diperolehi daripada belia Malaysia yang berumur tidak kurang daripada 15 tahun dan tidak lebih daripada 30 tahun. Sebanyak 262 belia terlibat dalam kajian tersebut.
Novel bertemakan alam sekitar pula merupakan novel yang paling kurang dibaca oleh belia. Hal ini menunjukkan ironi yang tersendiri kerana jika dilihat daripada isu semasa, permasalahan alam sekitar merupakan isu yang paling dekat dan sering diungkapkan dalam pelbagai media.

Menerusi kajian tersebut, sebanyak 14.8 peratus belia memilih novel percintaan, manakala selebihnya memilih novel bertemakan seram, misteri, sains fiksyen, fantasi, pengembaraan, kekeluargaan, keagamaan, psikologi, sejarah, politik, falsafah dan sains sosial.
Selain itu, para pembeli novel dalam kalangan belia juga memilih penerbit Karangkraf sebagai penerbit pilihan mereka untuk membeli novel. Kajian tersebut juga menunjukkan bahawa golongan belia memilih novel yang boleh memberikan kesan dan emosi yang mendalam, penggunaan jenis tulisan yang mesra pembacaan serta penggunaan dialog yang sesuai dengan karakter novel tersebut.
Sebelumnya, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa dalam ucapan alu-aluan menyatakan bahawa menerusi kajian ini, DBP berusaha untuk melihat corak pembacaan belia di Malaysia.
Hasil penemuan ini amat penting. Kita dapat melihat dengan lebih jelas siapakah pembaca sasaran kita. Kajian ini juga membantu DBP dan penerbit lain untuk memahami kekuatan dan cabaran dalam menerbitkan novel berbahasa Melayu khususnya pada era kini. Dengan itu, strategi penerbitan dapat dirancang dengan lebih tepat dan berkesan.

Selain itu, beliau juga turut menyatakan bahawa novel bukan sekadar untuk dibaca buat mengisi masa lapang, tetapi menjadi wahana pendidikan, pembentukan sahsiah dan menyemai nilai budaya bangsa dalam diri pembaca. Pengaruh media sosial juga turut mempengaruhi corak pembacaan generasi muda sekarang.