Diterbitkan pada 15 Oktober 2025, 12:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Tanjong Malim – Sekumpulan penyelidik dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya menghidupkan semula naskhah agung Sulalatus Salatin melalui penerbitan buku interaktif berjudul Pengkisahan Sulalatus Salatin. Buku ini merupakan buku interaktif pertama berkaitan dengan naskhah tersebut.

Projek tersebut diketuai oleh Profesor Madya Dr. Norazimah Zakaria dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi bersama-sama dengan Profesor Dr. Jelani Harun, Prof. Madya Dr. Mazarul Hasan Mohamad Hanapi, Dr. Suhazlan Suhaimi dan Dr. Nurfarahkhanna Mohd Rusli.

Melalui projek ini, pembaca dapat menikmati pelbagai elemen interaktif antaranya termasuklah infografik, aplikasi permainan digital dan teknologi Augmented Reality (AR) yang boleh diimbas melalui kod QR.

 

Infografik dalam buku ini memaparkan ringkasan cerita menarik berdasarkan peristiwa penting bagi memudahkan pembaca memahami dan mengingatinya. Permainan digital pula boleh dimuat turun menerusi imbasan kod QR dengan judul aplikasi Magnum Opus Sejarah Melayu yang menguji pengetahuan pengguna tentang jalan cerita dan watak.

Teknologi AR ini memberikan pengalaman baharu kepada pembaca dengan menghidupkan semula watak serta peristiwa dalam naskhah klasik secara visual dan interaktif – sesuatu yang masih baharu dalam dunia sastera negara.

Selain itu, dalam buku tersebut turut diselitkan bonus kod QR untuk memperkenalkan transliterasi teks penuh Sejarah Melayu versi panjang – dikenali sebagai Hikayat Melayu versi Tengku Said bagi memberi nilai tambah kepada pembaca untuk menelusuri kepelbagaian versi teks klasik tersebut.

Menurut Dr. Norazimah,

Ringkasan cerita menarik yang terkandung di dalam buku tersebut ialah berdasarkan pelbagai peristiwa penting dalam naskhah Sulalatus Salatin memandangkan kaedah tersebut dilihat lebih mudah difahami oleh pembaca daripada segenap lapisan umur. Penerbitan ini merupakan sumbangan kecil kami untuk dunia sastera Melayu.

Buku Pengkisahan Sulalatus Salatin yang diterbitkan oleh Nusa Centre ini turut tersenarai dalam undian untuk Anugerah Buku Perpustakaan Negara Malaysia 2025/2026 bagi kategori Pilihan Pembaca Buku Bercetak.

Tambahan lagi, kandungan digital buku interaktif ini bukan sahaja mendapat sambutan menggalakkan di peringkat tempatan malah meraih pelbagai pengiktirafan antarabangsa menerusi pertandingan inovasi pendidikan, antaranya termasuklah pingat Perak bagi International Research and Information Science Expo (DIGIT 360) 2025 dan pingat Gangsa bagi International Teaching and Learning Innovation Competition (I-TLIC).

Buku ini diyakini mampu membuka ruang baharu dalam pengajaran sastera Melayu melalui naratif visual dan digital. Inisiatif ini membuktikan bahawa karya sastera klasik tidak lapuk ditelan zaman, sebaliknya terus relevan dan boleh diangkat semula dengan pendekatan moden agar kekal malar segar dalam hati generasi muda.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi