Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTanjong Malim – Bengkel Penulisan Berita dan Rencana anjuran Persatuan Alumni Suluh Budiman (PASB) yang berlangsung di Dewan Seri Tanjong, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah pada 11 Oktober lepas menghimpunkan mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang berminat untuk mendalami bidang kewartawanan dan penulisan media.

Bengkel ini bertujuan memperkasakan kemahiran pelajar dalam menghasilkan berita dan rencana yang berkualiti serta menepati etika kewartawanan profesional. Peserta turut didedahkan dengan teknik menulis berita yang objektif, padat dan menarik perhatian pembaca.
Antara pengisian utama termasuklah penerangan tentang struktur berita, gaya penulisan rencana dan latihan amali menulis berdasarkan situasi sebenar. Peserta juga didedahkan tentang perbezaan antara berita yang berfokuskan kepada peristiwa penting dan aktual dan berita yang lebih ringan serta menghibur di samping mempelajari cara membina tajuk yang berkesan dan perenggan pembuka yang berkualiti.
Menurut pembaca berita TV3, Kamaruddin Mape yang menjadi penceramah utama bengkel, penulisan skrip berita perlu diberikan perhatian serius terutamanya dalam penggunaan istilah yang tepat. Ujarnya,
Setiap perkataan perlu disemak dengan teliti sebelum disiarkan. Misalnya, istilah seperti ‘mensasarkan’ perlu dirujuk kepada Dewan Bahasa dan Pustaka bagi memastikan penggunaannya betul, kerana kesilapan kecil boleh dipersoalkan dan menjejaskan kredibiliti.

Bengkel ini turut memberi peluang kepada peserta, antaranya Nik Nur Syahirah Amni, untuk menjalani latihan secara langsung sebagai pembaca berita di bawah tunjuk ajar Kamaruddin Mape.
Hadir sama memeriahkan bengkel ialah Dato’ Seri Haji Ahmad Haji Burak, Presiden PASB dan Dr. Ghazali bin Din, pensyarah UPSI.
Program ini diharap dapat melahirkan lebih ramai wartawan muda yang berketerampilan, beretika dan berupaya menyumbang kepada dunia kewartawanan dan penulisan negara.