Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Pementasan teater pendek berjudul “Mahsuri: Sumpahan Permaisuri Darah Putih” daripada Bahagian Pembangunan Hartanah, Bahagian Khidmat Perundangan dan Unit Pengurusan Kualiti, Risiko & Integriti, merangkul kejuaraan dalam Pertandingan Teater Pendek yang diadakan sempena Hari Keluarga Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) 2025 yang berlangsung di Holliday Villa Resort & Spa, Cherating pada 12 Oktober 2025 yang lalu.

Teater pendek tersebut menggabungkan elemen muzikal dan menjadikan pementasan lebih menarik dan mengujakan. Selain itu, teater pendek arahan Qisti Hilmi Johari tersebut turut menerima kemenangan berganda apabila pelakon utama yang memegang watak sebagai Mahsuri, iaitu Khairunisa Mohd Khairi dinobatkan sebagai pelakon terbaik. Johan menerima hadiah wang tunai berjumlah RM1500 dan Khairunisa pula menerima hadiah wang tunai berjumlah RM250.
Selain itu, kumpulan daripada Bahagian Pentadbiran & Sumber Manusia PKNP yang turut mempersembahkan teater pendek dengan judul yang sama mendapat naib johan dalam pertandingan tersebut dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1000.
Hadiah tempat ketiga pula dimenangi oleh kumpulan gabungan daripada Bahagian Pemasaran & Pengurusan Harta dan Pejabat Ketua Eksekutif yang mementaskan teater pendek berjudul “Sultan Mahmud Mangkat Dijulang”. Pemenang tempat ketiga menerima hadiah wang tunai berjumlah RM700.

Sementara itu, kumpulan gabungan Bahagian Hal Ehwal Korporat, Unit Audit Dalam dan Unit Pemantauan Perniagaan (teater pendek berjudul “Tun Teja : Cinta dan Pengorbanan”); kumpulan gabungan Bahagian Perindustrian dan Bahagian Teknik (teater pendek berjudul “Mat Kilau : Api dari Tanah Pahang”) dan kumpulan gabungan Bahagian Kewangan, Bahagian ICT dan Bahagian Pembangunan Komuniti & Keusahawanan (teater pendek berjudul “Hang Tuah dan Hang Jebat : Pertarungan Dua Sahabat”) menerima hadiah sagu hati. Masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM500.
Selain itu, YBhg. Dato’ Mohd Faizal Jaafar, Ketua Pegawai Eksekutif PKNP berkata bahawa penganjuran Pertandingan Teater Pendek sempena sambutan Hari Keluarga PKNP 2025 yang mengangkat tema Pahlawan dan Bangsawan Melayu adalah untuk mengangkat warisan ketamadunan Melayu.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua yang berjaya melakonkan watak masing-masing serta menyampaikan cerita legenda, sejarah dan kepahlawanan Melayu dengan kreatif, penuh penjiwaan serta penghayatan.
Turut hadir ialah YBhg. Datin Hajah Noraskin Jamaludin, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) PKNP, anggota pekerja dan seluruh ahli keluarga.