Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 22 September 2025, 01:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Port Dickson – Program Minggu Penulis Remaja (MPR) bakal dijenamakan semula dan diberikan kekuatan baharu dengan pendekatan yang lebih segar seiring dengan tuntutan semasa.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami Jahari memaklumkan bahawa pihaknya menerusi Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera sedang melaksanakan rombakan menyeluruh terhadap pelaksanaan program berkenaan.

Menurut beliau, alumni MPR akan dipanggil semula untuk membantu memperkaya dan menghasilkan kepengarangan yang lebih jitu, termasuk memberikan bimbingan kepada pengarang generasi baharu.

Kata beliau, pihak DBP akan menyediakan platform yang lebih tinggi sehingga ke peringkat antarabangsa, iaitu Program Penulisan Antarabangsa (IWP) Iowa di Amerika Syarikat kepada peserta yang berjaya dalam program MPR.

“Sekurang-kurangnya seorang alumni MPR akan dihantar ke program tersebut pada tahun hadapan dengan tajaan penuh oleh DBP,” katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Alumni MPR 2025 di Glory Beach Resort pada Ahad.

Beliau menegaskan bahawa proses pembelajaran dan pembinaan kepengarangan tidak terhenti pada sesuatu peringkat sahaja, sebaliknya bersifat berterusan daripada tahap asas kepada pertengahan sebelum pengukuhan pada peringkat serantau dan antarabangsa.

Selain itu, ujar beliau, pihak DBP juga sedang membina kerangka hala tuju untuk melahirkan sasterawan negara melalui program perbengkelan, wacana kesusasteraan serta kegiatan penulisan dan penerbitan.

Dr. Hazami turut menyarankan para alumni dan penulis muda MPR menerbitkan karya mereka di bawah DBP agar dapat disokong dengan pengukuhan jenama penerbitannya, selain menjadi petunjuk keberkesanan program MPR yang telah dilaksanakan.

Ujar beliau, karya yang dihasilkan oleh penulis muda perlu membawa sebuah pemikiran besar serta berpotensi diangkat mewakili karya negara.

“Kita tidak mahu pengarang muda kekal berada dalam kepompong Malaysia sahaja, tetapi mereka mampu muncul sebagai pengarang serantau dan antarabangsa,” tambahnya lagi.

Mengulas lanjut mengenai pencapaian 40 tahun program MPR pada edisi kali ini, beliau menyifatkannya sebagai satu kejayaan signifikan kerana program tersebut merupakan antara jenama ikonik DBP, sebaris dengan majalah Dewan Sastera, Anugerah Sastera Negara, Hadiah Sastera Perdana Malaysia serta SEA Write Award dan Anugerah Sastera Negeri.

“Tidak banyak program perbengkelan yang dapat bertahan lama, walaupun MPR mengalami pasang surutnya, tetap bergerak terus di bawah naungan DBP.

“Kejayaan kita mengekalkan program MPR bukan kerana DBP semata-mata, tetapi dukungan daripada ahli dan alumni MPR serta sasterawan negara yang pernah membimbing dan menjadi mentor kepada penulis muda,” katanya.

Beliau menekankan bahawa platform MPR amat penting untuk mengukuhkan minat dan kekuatan pengarang muda terus berkarya serta menghasilkan karya yang baik dan bermutu.

“Masa depan penulis muda akan lebih terarah dan terjamin apabila adanya program seumpama ini, malah platform alumni menjadi medan untuk kita saling berbincang, bertemu dan berwacana,” jelasnya.

Hal ini demikian kerana keberadaan sasterawan negara sewajarnya disusuli dan diwarisi oleh generasi penulis muda yang sedia ada dalam program MPR.

Sementara itu, Perhimpunan Alumni MPR 2025 berjaya menghimpunkan sebanyak 42 orang alumni MPR yang bertujuan menyediakan ruang kepada mereka untuk bertemu dan berkongsi pengalaman pengkaryaan masing-masing, sekali gus memberikan dorongan kepada penulis muda untuk berkarya.

Barisan alumni MPR dan peserta MPR 2025 yang hadir dalam Perhimpunan Alumni MPR 2025 di Glory Beach Resort.

Program yang bertemakan “Yang Lama Disantuni, Yang Baharu Didekati” itu merupakan satu daripada pengisian MPR 2025 yang bermula 16 hingga 20 September lalu dengan penyertaan 19 orang peserta dan lima orang pembimbing.

Yang turut hadir dalam perhimpunan tersebut ialah Ahli Lembaga Pengelola DBP, YBrs. Dr. Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul Razy (Fahd Razy); Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai; Sasterawan Negara Ke-13, YBhg. Dato’ Dr. Zurinah Hassan; Pengerusi Organisasi Penulis Lepasan MASTERA (OPERA) Malaysia, YBrs. Muhammad Lutfi Ishak; YBrs. Encik Zainal Palit (Zaen Kasturi), YBrs. Dr. Shamsudin Othman serta alumni dan para peserta MPR 2025.

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi