Diterbitkan pada 20 September 2025, 08:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Port Dickson – Program Minggu Penulis Kanak-kanak (MPKK) 2025 berjaya menghimpunkan sebanyak 20 orang peserta cilik terpilih dari seluruh negara yang mempunyai potensi besar dalam bidang penulisan kreatif.

Program tahunan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka tersebut berlangsung selama lima hari, bermula dari 16 hingga 20 September, bertempat di Glory Beach Resort.

Peserta yang terpilih merupakan kanak-kanak yang pernah menghasilkan karya kreatif seperti cerpen dan puisi, serta diterbitkan dalam platform JendelaDBP sebelum ini.

Pemilihan para peserta dibuat berdasarkan kualiti karya yang dihantar dalam platform berkenaan, sekali gus menjadi penilaian terhadap bakat dan minat mereka untuk terus digilap menerusi penganjuran program ini.

Sepanjang program tersebut berlangsung, para peserta dibimbing oleh tokoh penulis berpengalaman luas dalam bidang penulisan yang berkongsi teknik penulisan puisi berkualiti serta pengalaman peribadi mereka sepanjang berkecimpung dalam dunia kesusasteraan.

Antara pembimbing yang terlibat dalam MPKK pada edisi kali ini termasuklah Salina Ibrahim, Sayidah Mu’izzah dan Mohamad Fairul.

“Untuk menjadi seorang penulis, mesti bermula dengan membaca.

“Amalan membaca dapat merangsang minda untuk mencetuskan idea baharu yang disebut sebagai inspirasi,” ujar Puan Salina selaku seorang daripada pembimbing MPKK.

Para peserta MPKK ketika mengikuti sesi bimbingan intensif penulisan.

Selain sesi bimbingan penulisan, aktiviti pengisian Aksara Alam turut diadakan pada sebelah petang yang memerlukan para peserta membuat cerapan alam semula jadi.

Aktiviti tersebut melatih mereka menggabungkan elemen alam dalam penghasilan sesuatu karya, khususnya unsur yang berkaitan dengan laut dan pantai.

Bahkan, pelaksanaannya juga membantu menyerlahkan bakat dan kebolehan peserta mencipta serta menyampaikan puisi dengan lebih kreatif.

Sementara itu, penganjuran program MPKK 2025 bertujuan memberikan pendedahan dan pengenalan kepada si cilik mengenai dunia penulisan yang lebih luas.

Bimbingan intensif penulisan dalam program ini mengasah semula bakat kanak-kanak yang sedia ada, di samping melahirkan generasi penulis kreatif baharu yang mampu menyumbang manfaat kepada masyarakat melalui bidang penulisan.

Kredit Foto: Aris Amirul
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi