Diterbitkan pada 18 September 2025, 15:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Tanjung Bidara – Pesta Pantai Tanjung Bidara 2025 disemarakkan lagi dengan Program Bakat Raja dan Ratu Dondang Sayang yang memberikan nafas baharu kepada seni tradisi, sekali gus menjadi pentas bakat generasi muda menyerlah.

Program anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka melalui kerjasama Persatuan Dondang Sayang Negeri Melaka dan sokongan Melaka Taming Sari Berhad (MTSB) itu memperkenalkan kategori istimewa, iaitu “Tarian Dondang Sayang Mambo”, sekali gus memberikan wajah segar kepada seni tradisi yang diiktiraf UNESCO.

Pengarah JKKN Melaka, Puan Ezlina Alias, berkata bahawa pertandingan itu dirangka sebagai pelantar untuk generasi muda menonjolkan kreativiti, di samping menanam rasa bangga terhadap seni warisan.

Tanpa usaha berterusan, Dondang Sayang berisiko dipinggirkan oleh arus hiburan moden. Namun begitu, penyertaan belia membuktikan seni ini masih relevan dan boleh diadaptasi tanpa mengorbankan keasliannya,” katanya.

Pada acara akhir, Kumpulan Tunas Tari Warisan dari Sekolah Kebangsaan (SK) Tangga Batu muncul sebagai juara bagi kategori “Tarian Dondang Sayang Mambo”, menewaskan Kumpulan Anom Sari yang meraih naib johan, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Kumpulan Aluntra Tari dari SK Bachang.

Bakat muda bawah 15 tahun turut menyerlah apabila Muhammad Yusuf Hadi Abd Munim, dan Nuha Danisha Mohd Faisal, dinobatkan sebagai Raja dan Ratu Dondang Sayang.

Bagi kategori terbuka, Muhammad Iqbal Amran (Raja) dan Syaimaa Salleh (Ratu) berjaya mengungguli pertandingan, melakar detik membanggakan buat seni suara tradisional itu. Setiap pemenang, masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai, sijil dan plak penghargaan.

Majlis berprestij itu turut mendapat perhatian Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, yang menzahirkan sokongan penuh terhadap usaha membimbing bakat baharu dalam seni warisan negeri.

Turut hadir memberikan penghargaan kepada para peserta dan pemenang ialah Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; selain barisan Exco dan Timbalan Exco.

Menurut Puan Ezlina, program ini membuktikan bakat muda mampu menjadi pelapis untuk memastikan seni tradisi bukan sahaja dipelihara dan dilestarikan  agar terus berkembang menjadi warisan budaya seni yang hidup menghubungkan generasi lama dengan generasi baharu.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi