Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kulim — Usaha memperkukuh Gagasan MADANI diteruskan dengan pelibatan sebanyak 120 guru dari empat negeri dalam Program Penulisan Naratif MADANI (PENA MADANI), anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), yang memberikan fokus kepada kemahiran penulisan dan penciptaan kandungan digital.
Program anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui kerjasama Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Pertubuhan Pendidikan Sejahtera Malaysia (PENDIDIK) dan Unit Integriti Kementerian Pendidikan Malaysia itu berlangsung selama tiga hari dua malam, bermula dari 10 hingga 12 September.
Menurut Penyelaras Program, Dr. Radin Imaduddin Radin Abdul Halim, PENA MADANI memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknik penulisan artikel, rencana serta penghasilan kandungan untuk media sosial seperti Facebook dan TikTok.
“Kami mahu para guru dari Kedah, Perlis, Perak dan Pulau Pinang ini bukan sekadar menyampaikan ilmu di dalam bilik darjah, tetapi juga mampu menjadi pencetus pemikiran di ruang awam melalui penulisan,” katanya ketika berucap dalam sesi penutup program tersebut.
Menariknya, setiap kumpulan guru yang terlibat diminta membangunkan satu laman khas di Facebook bagi menyebarkan naratif dan nilai Gagasan MADANI kepada masyarakat umum secara kreatif dan berimpak tinggi.
Sementara itu, Pengarah DBP Wilayah Tengah, Puan Nurul Julia Alani Henry, menyifatkan program ini sebagai medan terbaik untuk guru menghasilkan karya pertama mereka dengan sokongan penerbitan profesional daripada DBP.
“DBP menyediakan pelbagai saluran untuk para pendidik menghantar karya seperti sajak, cerpen, rencana dan novel untuk diterbitkan dalam majalah, buku dan platform digital seperti JendelaDBP,” katanya dalam sesi perkongsian khas bersama-sama dengan peserta.
Program yang berlangsung dari pukul 8 pagi hingga 10 malam itu turut merangkumi sesi motivasi, bengkel penulisan serta bimbingan langsung daripada tenaga pengajar berpengalaman dalam bidang penulisan kreatif dan digital.
PENA MADANI dilihat sebagai inisiatif strategik yang bukan sahaja mengasah bakat penulisan warga pendidik, malah memperkukuh jati diri dan kefahaman terhadap prinsip MADANI dalam kalangan masyarakat menerusi wadah penulisan yang lebih segar dan mendekati rakyat.