Diterbitkan pada 2 September 2025, 11:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur– Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja (PSKR) dan Melawati Mall (MM) telah menganjurkan Pertandingan Bercerita bersempena dengan bulan kemerdekaan.

Program yang berlangsung di pusat beli-belah berkenaan itu disertai oleh 20 orang peserta yang terdiri daripada murid sekolah rendah Tahap Dua dari sekitar kawasan Ampang dan Gombak. Pertandingan bercerita yang bertemakan “Generasi Elit, Jiwa Patriotik” itu bermula pada pukul 2.00 petang dan telah dinilai oleh tiga orang juri yang terdiri daripada wakil DBP dan MM. Panel juri tersebut ialah Encik Rusdi Abdul Rahman dan Encik Mulia Nasution Ahmat daripada DBP, serta Encik Anson Tan, Pengarah Urusan Melawati Mall.

Pertandingan tersebut menyaksikan Nur Ammara Aqilah dinobatkan sebagai johan melalui persembahan yang penuh beremosi bagi cerita bertajuk “Ku Bawa Semangat Ayah” yang berjaya memikat hati para juri. Tempat kedua dimenangi oleh Muhammad Tuah Al-Fateh yang membawakan cerita “Generasi Muda Pewaris Negara” manakala tempat ketiga diraih oleh Nur Marissa Khayla melalui cerita “Jiwa Merdeka”.

Semua pemenang membawa pulang hadiah yang merangkumi buku terbitan DBP, baucar buku, baucar wang tunai serta sijil penyertaan dan penghargaan.

Program seumpama ini dilaksanakan sejajar dengan inisiatif “Seronoknya Membaca” yang dipergiat oleh DBP dengan kerjasama strategik dengan sektor swasta seperti Melawati Mall.

Program ini bukan sahaja sekadar aktiviti berunsurkan hiburan, tetapi merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memartabatkan bahasa dan sastera dalam kalangan generasi muda. Program seperti ini juga mampu menyemarakkan semangat patriotik dan meningkatkan kecintaan terhadap bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat sejajar dengan sambutan bulan kemerdekaan.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Encik Rusdi yang mewakili Ketua Bahagian PSKR dan diiringi oleh Encik Anson Tan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi