Diterbitkan pada 27 Ogos 2025, 07:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya Ahmad Hakimi bin Shariffuddin, pelajar aliran sains sosial yang mengambil lima subjek termasuk Kesusasteraan Melayu Komunikatif dari Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Aman, Pasir Puteh, Kelantan, mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajar Terbaik Peringkat Kebangsaan bagi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 dengan pencapaian cemerlang 5A (PNGK 4.00).

Ahmad Hakimi bin Shariffudin menerima hadiah daripada Menteri Pendidikan, YB Puan Fadhlina Sidek.

Anugerah berprestij itu telah disampaikan oleh Menteri Pendidikan, YB Puan Fadhlina Sidek dalam Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Terbaik STPM, MUET dan SKBMW 2024 bertempat di Putrajaya.

Turut hadir mengiringi Ahmad Hakimi ke majlis berkenaan ialah Pengetua SMK Seri Aman, Encik Mohammad Jamil bin Ismail serta Penolong Kanan Tingkatan Enam, Encik Che Hazmi bin Jusoh yang sentiasa menjadi tulang belakang kejayaan beliau.

Pengetua SMK Seri Aman, Encik Mohammad Jamil bin Ismail serta Penolong Kanan Tingkatan Enam, Encik Che Hazmi bin Jusoh turut mengiringi kejayaan Ahmad Hakimi.

Lebih membanggakan, kejayaan ini ditempa meskipun Ahmad Hakimi berdepan masalah kesihatan iaitu sakit belakang yang sering mengganggu rutin hariannya. Namun begitu, beliau tetap menunjukkan kesungguhan yang luar biasa dengan tidak pernah menjadikan kekangan itu sebagai penghalang untuk terus menuntut ilmu.

Ahmad Hakimi juga merupakan pelajar sasaran sekolah yang sentiasa diberikan perhatian dan bimbingan khas oleh guru-guru. Dengan semangat gigih serta dedikasi tinggi, beliau membuktikan bahawa kecemerlangan mampu dicapai walaupun berdepan cabaran besar.

Pihak sekolah menzahirkan rasa syukur dan bangga atas pencapaian ini yang sekali gus mengangkat nama SMK Seri Aman pada peringkat kebangsaan.

“Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi dan pembakar semangat kepada semua pelajar lain untuk terus berusaha dan tidak mudah menyerah,” kata wakil sekolah dalam satu kenyataan dalam laman rasmi mereka.

Kredit Foto: N. Nur Nasuha
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi