Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – “Menjadi penyair dan penulis puisi menjadikan kita seperti ‘ingin dilihat buruk’ kerana kita berada dalam sebuah negara puisi.”
Demikian pandangan penulis, Ruhaini Matdarin ketika membicarakan tentang cabaran berkarya dalam genre puisi.

Ruhaini menjelaskan bahawa puisi sebagai genre yang sukar kerana tidak memberikan ruang untuk bercerita dengan lebih panjang seperti cerpen dan novel, sedangkan karya seperti novel memerlukan perincian yang lebih mendalam.
Pandangan itu dikemukakan dalam sesi “Dari Kamar Pengarang: Rumah yang Kita Impikan” bersempena dengan Festival Mini Sastera OPERA anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama Organisasi Alumni Program Penulisan Mastera Malaysia.
Sesi tersebut menampilkan tiga orang ahli panel, iaitu Ruhaini sendiri, Za’im Yusoff dan Karim Mohd yang masing-masing menyorot persoalan bagaimanakah rumah sastera yang mereka impikan dapat dibina?
Za’im yang banyak menghasilkan puisi menegaskan bahawa penulis perlu bersifat neutral tanpa menyebelahi mana-mana pihak dalam politik.

Karim Mohd pula berkongsi pandangannya mengenai kekangan masa yang membataskannya untuk kembali menulis cerpen dan esei, sekali gus menyebabkan beliau hanya mengekalkan penulisan puisi walaupun masih mempunyai minat terhadap genre lain.

Selain mengangkat Sasterawan Negara, Anwar Ridhwan sebagai pengarang prosa pujaan, Ruhaini turut menegaskan bahawa dunia puisi dan penyair tetap penting kerana menjadi identiti dalam kesusasteraan negara.
Karim Mohd yang mengagumi Sasterawan Negara, Muhammad Haji Salleh dan A. Latiff Mohidin sebagai penyair kegemaran beliau menekankan akan kepentingan perbincangan tentang isu semasa sastera bagi menyemarakkan perkembangan kesusasteraan, selain perlunya kayu ukur yang konkrit dalam penghasilan karya.
Beliau juga menyatakan bahawa karya yang baik mestilah mengandungi adunan realiti, nostalgia dan fantasi agar karya yang dihasilkan bukan sekadar menjadi produk kilang, malah menekankan pembaharuan bahasa sebagai ciri utama puisi.
Dalam aspek kritikan pula, ketiga-tiga ahli panel sependapat bahawa lebih banyak pengkritik diperlukan kerana peranan mereka sangat besar, khususnya dalam melahirkan pembaca baharu.