Diterbitkan pada 21 Ogos 2025, 11:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Teater Misi Duri-X yang diusahakan Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8(1), akan dipentaskan pada 23 Ogos 2025 (pukul 3.00 petang dan 8.30 malam), dan 24 Ogos 2025 (2.00 petang), di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur.

Teater kanak-kanak ini dipentaskan bersempena dengan Karnival Apresiasi Bahasa dan Kesenian (KABK), Dekad Bahasa Kebangsaan Peringkat Kebangsaan 2025. KABK dianjurkan oleh sekolah tersebut dengan kerjasama DBP, serta Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Misi Duri-X yang dikelolakan sepenuhnya oleh guru sebagai tenaga produksi ini menampilkan para murid dari sekolah yang sama sebagai pelakon. Persembahannya turut diserikan dengan tarian oleh murid Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8(3).

Para murid ketika berlatih teater.

Menurut Puan Saliza Saludin, Guru Besar SK Putrajaya Presint 8(1), pementasan Misi Duri-X menekankan penggabungan elemen lakonan, tarian dan nyanyian koir bagi memberi peluang kepada murid untuk menonjolkan bakat dalam pelbagai bidang seni.

Pementasan Misi Duri-X turut mendapat sentuhan tiga individu berpengalaman daripada Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Putrajaya (PEWIRA), iaitu Subroto Hj. Katimin selaku pengarah, Nohman Isa (pengurus pentas) dan Mar Othman (penulis skrip).

Lebih istimewa, pementasan Misi Duri-X menampilkan Rosli Rahman Adam, pelakon dan aktivis teater veteran tanah air yang akan membuat penampilan khas sebagai menyokong usaha memupuk minat generasi muda dalam bidang seni persembahan.

Misi Duri-X mengisahkan sekumpulan murid ahli unit beruniform yang mengikuti perkhemahan di kawasan dusun durian. Di sepanjang perkhemahan, mereka menyertai pelbagai aktiviti seperti tarik tali, malam kebudayaan dan penulisan puisi patriotik.

Walau bagaimanapun, misteri di sebalik dusun durian mula menarik perhatian sebahagian peserta untuk menerokai kawasan tersebut pada waktu malam sehingga rahsia yang tersembunyi akhirnya terbongkar.

Selain pementasan teater, KABK turut menampilkan pertandingan koir dan pertandingan trio monodrama sekolah rendah yang berlangsung di Auditorium DBP dengan penyertaan sekolah dari Semenanjung Malaysia, serta pameran seni lukis hasil karya guru dan pelajar sekolah sekitar Putrajaya yang dipamerkan di ruang pameran DBP.

Orang ramai dijemput hadir untuk menyaksikan persembahan ini dan bersama-sama menyemarakkan semangat bahasa dan seni. Tiket berharga RM12 boleh didapati melalui pautan https://bit.ly/MISIDURIX?r=qr.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi