Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Peserta muda berbakat, Elvienie Petrus, berjaya meraih tempat keempat dalam Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Peringkat Kebangsaan Ke-39 Tahun 2025. Pencapaian ini mendapat perhatian ramai apabila beliau bukan sahaja mengharumkan nama keluarga, malah turut mengangkat nama negeri kelahirannya di pentas kebangsaan.
Menurut Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (PERWILA), kejayaan Elvienie merupakan bukti bahawa generasi muda masih dekat dengan seni puisi dan mempunyai semangat tinggi dalam memperjuangkan bahasa kebangsaan.
“Pencapaian ini bukan sahaja membanggakan diri dan keluarga, malah memberi inspirasi kepada generasi muda untuk terus mencintai seni puisi dan memperjuangkan bahasa kebangsaan,” ujar PERWILA dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi mereka.
Elvienie yang tampil anggun dengan busana tradisi ketika mendeklamasikan puisi, mempamerkan penghayatan penuh semangat serta kefasihan berbahasa yang memikat hati juri dan penonton.
PERWILA turut berharap pencapaian ini menjadi pemangkin untuk Elvienie terus melakar kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang, sekali gus membuka jalan buat bakat muda lain agar berani menyertai pertandingan seumpamanya di peringkat kebangsaan.