Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangGombak – Sebanyak 43 orang kanak-kanak telah menyertai program Stesen Cerita 2.0 yang diadakan di Perpustakaan Orang Asli Daerah Gombak. Program yang dianjurkan oleh Pertubuhan Kanak-kanak Idaman Nasional (KIND) dengan kerjasama Wanita IKRAM Gombak dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) ini bertujuan untuk memupuk minat membaca buku fizikal dalam kalangan kanak-kanak.
Persembahan “Membaca Nyaring” (read aloud) yang kreatif dan interaktif oleh para sukarelawan melalui buku Ceritera Planet ABC begitu menghiburkan para peserta. Melalui pemakaian prop bagi menggambarkan watak utama seperti Cendol, Kacang Merah, Jagung dan Kacang Tanah, kanak-kanak kelihatan teruja dan mendengar kisah tersebut sehingga akhir dengan teliti.
Sementara itu, program ini dinamakan Stesen Cerita kerana melibatkan aktiviti berstruktur dan separa berstruktur. Terdapat lima stesen yang disusun dengan tema berlainan yang diinspirasikan melalui buku-buku yang terpilih.
Pada setiap stesen, sukarelawan akan membacakan terlebih dahulu buku tersebut kepada para peserta sebelum mereka melakukan aktiviti yang berkaitan mengikut tema stesen tersebut.

Antara buku yang digunakan semasa aktiviti stesen cerita ialah My Mother’s Kitchen (Emila Yusof), What We’ll Build (Oliver Jeffers) dan Ceritera Planet ABC. Kanak-kanak begitu gembira dapat menghasilkan ABC mereka sendiri di stesen Ceritera Planet ABC. Menerusi stesen The White Book (Silvia Borando), peserta bukan sahaja mendapat pengalaman mengecat dinding perpustakaan, malah turut dapat membantu menceriakan kawasan tersebut.
Menurut Puan Noor Habibah Rosli, Pengerusi KIND, mereka telah merancang untuk menganjurkan program bersama-sama komuniti orang asli sejak tahun 2022 lagi. Walau bagaimanapun, disebabkan beberapa faktor, Stesen Cerita 2.0 akhirnya dapat direalisasikan pada tahun ini.
Lebih menarik, program ini turut menjadi platform kepada beberapa orang sukarelawan remaja untuk membina kemahiran kesukarelawanan mereka. Seorang daripada sukarelawan, Adelia menyebut bahawa program ini memberi peluang untuk beliau belajar berkomunikasi dengan para peserta dengan lebih baik.
Dalam majlis penutup yang berlangsung di Auditorium Muzium Orang Asli, Puan Noor Habibah turut menyerahkan sumbangan berupa senaskhah buku dan barang mainan kepada para peserta. Beliau berharap program ini dapat menjadi medium untuk membina kemahiran sosial kanak-kanak, di samping menggalakkan interaksi merentas budaya.