Diterbitkan pada 18 Ogos 2025, 12:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Seramai 31 orang pelajar berusia tujuh hingga 18 tahun telah menjayakan Konsert Mini Permata Seni Muzik (KMPSM) di Lambang Sari, Istana Budaya (IB) pada 17 Ogos lalu.

Mereka merupakan ahli kumpulan Permata Seni Muzik (PSM) yang dianggotai 91 orang ahli yang berumur dalam lingkungan tujuh hingga 18 tahun yang menetap di sekitar Lembang Klang.

Kumpulan PSM tersebut memainkan alat muzik bertali yang terdiri daripada violin, biola, selo (cello) dan dabal bes (double bass). Mereka mempersembahkan pelbagai genre muzik antaranya termasuklah genre klasikal barat, lagu rakyat, muzik popular tanah air dan antarabangsa.

KMPSM ini merupakan sebuah program yang dirangka untuk menampilkan bakat ahli PSM dan mereka juga telah melalui sesi latihan selama dua bulan.

Sesi latihan tersebut bertujuan memberikan pendedahan awal kepada para ahli PSM untuk membuat persembahan dalam bentuk orkestra bertali selain membina keyakinan diri bagi membuat persembahan di hadapan khalayak ramai.

Mereka dipimpin oleh YBhg. Datuk Mustafa Fuzer Nawi sebagai konduktor Maestro. Secara terperinci, violin 1 dimainkan oleh lapan orang ahli PSM, violin 2 (15 orang), biola (tiga orang), selo (tiga orang) dan dabal bes (dua orang).

Selain itu, KMPSM turut menampilkan persembahan istimewa tujuh orang kanak-kanak berusia tujuh hingga 10 tahun yang diberi nama “Little Mozart”. Mereka telah dipilih melalui sebuah sesi uji bakat dan dilatih secara mingguan oleh tenaga pemuzik profesional.

Turut hadir menonton KMPSM termasuklah Dato’ Shaharuddin Abu Sohot, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Tan Sri Hajah Norliza Roffi, Pengerusi Majlis Kebudayaan Negara (MAKEN), Puan Putri Shahda Azza Megat Burhainuddin, Pengarah Pemasaran IB dan Puan Zubaidah Mukhtar, Ketua Pengarah IB.

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi