Diterbitkan pada 13 Ogos 2025, 11:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Hasil karya siswa guru yang telah berjaya dikatalogkan.

Kuala Lumpur – sebanyak 97 penulis muda dalam kalangan siswa guru dari Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPGKIK) berjaya menghasilkan buku cerita kanak-kanak lengkap, hasil bimbingan modul inovatif Aksara Cipta IPGKIK yang menggabungkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pemikiran manusia.

Inovasi Aksara Cipta diperkenalkan sebagai modul interaktif penulisan kreatif yang berfungsi secara fizikal dan digital, membimbing pengguna menghasilkan karya yang asli, sistematik dan reflektif. Modul ini dibangunkan bagi menyokong pengajaran dan pembelajaran dalam bidang penulisan kreatif, kesusasteraan dan pengajaran bahasa.

Menurut Pensyarah Cemerlang Gred Khas C, IPGKIK, Norani Abd Rahim, keistimewaan modul ini terletak pada pendekatannya yang mengintegrasikan AI secara beretika.

“Modul ini bukan sahaja membimbing dari segi idea dan struktur penulisan, malah mendidik pengguna menyemak, menyunting dan memperibadikan hasil penulisan AI agar tidak hilang sentuhan manusiawi yang penting dalam sesebuah karya,” katanya.

Dalam program pembangunan penulis muda yang diadakan baru-baru ini, semua peserta menggunakan modul Aksara Cipta sebagai panduan utama. Hasilnya, pelbagai genre cerita kanak-kanak bertemakan sahabat inklusif, karakter unggul, seronoknya belajar dan teknologi digital berjaya diterbitkan dengan mutu yang membanggakan.

Sebahagian daripada siswa guru bersama-sama dengan karya yang dihasilkan.

Seorang daripada peserta, siswa guru Sofea Dayana Dusuki, menyifatkan pengalaman menggunakan Aksara Cipta sebagai proses pembelajaran yang membentuk pemikiran kritis.

“Saya belajar cara menulis dengan bantuan AI, tetapi pada masa sama diajar untuk tidak terlalu bergantung. Saya hasilkan karya bertajuk ‘Mek Budu Bercerita’ yang turut menggabungkan audio bersama teks bertulis,” katanya.

Program ini turut menampilkan bengkel penulisan khas merangkumi penciptaan idea, pembinaan jalan cerita dan pembangunan gaya penulisan peribadi. Setiap sesi disokong teknologi AI yang menjana pilihan kata dan struktur ayat, namun peserta diberikan kebebasan untuk menyesuaikan mengikut nilai dan cita rasa sendiri.

Aksara Cipta kini diperluaskan penggunaannya kepada guru-guru di Sekolah dalam Hospital (SDH) yang sedang aktif menghasilkan karya kreatif untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran (PdP) selaras dengan keperluan murid di sekolah berkenaan.

Inisiatif ini juga dilihat mampu menjadi pemangkin kepada penghasilan lebih banyak karya tempatan berkualiti tinggi, seterusnya menyumbang kepada pembangunan industri penulisan dan penerbitan negara.

Dengan pendekatan mesra pengguna dan berstruktur, Aksara Cipta memberikan ruang kepada lebih ramai individu untuk terlibat secara aktif dalam bidang penulisan.

Pelaksanaan inovasi ini dijangka membuka lembaran baharu dalam dunia penulisan Malaysia, bukan sahaja dari aspek teknologi, malah dari sudut budaya dan etika, sekali gus menyemai generasi penulis muda yang moden, bertanggungjawab dan progresif.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi