Diterbitkan pada 13 Ogos 2025, 12:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Perak – Usaha memupuk budaya membaca dalam kalangan masyarakat, khususnya kanak-kanak, terus digiatkan apabila Suri Circle Perak, satu daripada komuniti di bawah Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia (SRR), menganjurkan program Booknic bertempat di Padang Oval, Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), baru-baru ini.

Bertemakan “Santai di Alam, Ilmu di Genggaman”, program itu berjaya menarik penyertaan kira-kira sebanyak 50 orang peserta dari pelbagai peringkat umur, menjadikannya satu aktiviti hujung minggu yang bermanfaat untuk seisi keluarga.

Menurut jurucakap penganjur, Booknic bukan sahaja menjadi wadah menghidupkan budaya membaca, malah bertindak sebagai platform mempererat hubungan kekeluargaan melalui aktiviti berasaskan ilmu dan interaksi santai di ruang terbuka.

“Jika saya mengajak anak-anak membaca di rumah, mereka agak keberatan. Tetapi apabila digabungkan dengan aktiviti berkelah dan buku, mereka lebih teruja,” kata seorang daripada pengunjung, Puan Nur Nadia Shamsudin.

Para peserta turut berpeluang membaca secara bebas, berkongsi cerita dan menyertai aktiviti kraf sambil menikmati suasana semula jadi yang menghijau, sekali gus menjadikan pengalaman membaca lebih menyeronokkan.

Program Booknic juga merupakan sebahagian daripada siri aktiviti menjelang Konvensyen Suri 2025 (KONSURI 2025) yang bakal berlangsung di The Everly Putrajaya pada 14 September akan datang, menampilkan pelbagai program berteraskan pembangunan wanita dan keluarga.

Pihak penganjur berharap program seumpama ini dapat diperluaskan ke lokasi lain secara berkala, bagi melahirkan komuniti celik ilmu yang menghargai buku sebagai sumber inspirasi dan pembelajaran sepanjang hayat.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi