Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTemerloh – Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Bentong dinobatkan sebagai johan Pertandingan Debat Generasi MADANI Piala Menteri Pendidikan Peringkat Negeri Pahang 2025 selepas menewaskan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Purun dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khee Chee, pada 24 Julai 2025.
Pertandingan anjuran Unit Pembangunan Bakat Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Temerloh itu menyaksikan sebanyak 14 buah sekolah dari lapan daerah seluruh negeri bersaing dalam pertandingan yang berlangsung penuh semangat dan intelektual.
Usul yang dibahas dalam pusingan akhir bertajuk “Perang Tarif Global Mengancam Kestabilan Ekonomi Dunia” telah diterima sebulat suara oleh dewan persidangan. Pelajar SMAP Bentong, Anis Habriyah Muhammad Fahmirauf, turut menerima pengiktirafan sebagai Pembahas Terbaik.
Pegawai Teknikal Bahasa Melayu Negeri Pahang, Mohamad Subaidi Abdul Samat, menyatakan bahawa pelibatan pelajar dalam kalangan sekolah menengah di Pahang semakin memberangsangkan, khususnya dari daerah Temerloh yang menjadi tuan rumah edisi kali ini dengan menghantar sebanyak empat pasukan.
“Penyertaan daripada sekolah berasrama penuh seperti SBPI Kuantan, SBPI Temerloh, SHAH Pekan dan SMAP Bentong serta sekolah bantuan kerajaan seperti Madrasah Tarbiah Islamiah Mentakab menunjukkan peningkatan positif,” katanya.
Menurutnya lagi, pencapaian SMK Purun, sebuah sekolah menengah harian dari kawasan Felda yang berjaya mara ke peringkat akhir, membuktikan bahawa kualiti pembahas sekolah harian kini setanding dengan sekolah khusus.
Majlis penutupan dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Penolong Pengarah Pembangunan Bakat Murid Kokurikulum Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Puan Siti Hafiza Shamsudin.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa pertandingan ini merupakan platform penting bagi melahirkan generasi MADANI yang petah berbicara dan yakin menyuarakan pandangan.
“Kejayaan bukan hanya melalui satu percubaan. Teruskan mencuba dan berlatih. Semoga pertandingan ini menjadi pemangkin kepada kecemerlangan bakat pelajar,” katanya.
Turut hadir ialah Guru Besar SJKC Khee Chee, Encik Ang Swee Seng dan Penolong Pegawai Pendidikan Pembangunan Bakat Murid PPD Temerloh, Encik Ahmad Nazri Abdul Khorid.