Diterbitkan pada 4 Ogos 2025, 12:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Baling – Usaha mencungkil dan mengasah bakat penulisan kreatif dalam kalangan pelajar sekolah terus dipergiat menerusi Program Inisiatif Rekayasa Pembangunan Bakat Penulisan MADANI 2025 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Baling dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai pada 30 Julai lalu.

Program ini menghimpunkan sebanyak 56 orang pelajar tingkatan tiga dan empat dari lima buah sekolah menengah sekitar daerah Baling.

Pengisian utama program menampilkan Puan Syahidatul Munirah, penulis, pengarah teater dan pengasas Anjung Seni Nilakandi yang menyampaikan sesi bimbingan intensif berkaitan dengan penulisan cerpen dan puisi.

Dengan pendekatan interaktif dan mesra, beliau berjaya menyemai minat dan semangat mendalam dalam kalangan peserta untuk meneroka dunia penulisan secara lebih serius. Para peserta turut didedahkan dengan teknik penulisan yang betul, kaedah pengolahan idea, serta potensi menjadikan penulisan sebagai sumber pendapatan pada usia muda.

Peserta mendengar perkongsian yang disampaikan oleh Puan Syaidatul Munirah dalam Program Inisiatif Rekayasa Pembangunan Bakat Penulisan MADANI 2025.

Menurut pihak penganjur, program ini bukan sekadar platform pencungkil bakat, bahkan menjadi pelaburan jangka panjang dalam membina generasi penulis baharu yang mampu menyumbang kepada kemajuan bahasa dan sastera kebangsaan.

“Kita mahu pelajar bukan hanya menulis dengan baik, tetapi juga berfikir secara kritis, kreatif dan mampu menyuarakan pandangan mereka melalui bahasa yang tersusun dan berbudaya,” kata wakil DBPWU ketika ditemui selepas program.

Program ini juga dilihat bertepatan dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan pembinaan jati diri, penguasaan bahasa kebangsaan serta pemikiran berasaskan nilai budaya dan intelektualisme.

Pihak penganjur berharap program seumpama ini dapat diperluaskan ke pelbagai daerah agar manfaatnya dapat dinikmati oleh lebih ramai pelajar di seluruh negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi