Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPerlis – Segmen Bual Bicara Tokoh Penulis Muda yang berlangsung bersempena dengan Program Pembinaan Bakat Penulis Remaja dan Kanak-Kanak 2025 Peringkat Zon Utara berjaya menyuntik inspirasi kepada peserta yang hadir.
Program anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) itu menampilkan Muhammad Afif Zulhusni, Sasterawan Muda Negeri Pulau Pinang 2023, sebagai panel utama. Sesi yang berlangsung di Pusat Kokurikulum, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis pada 30 Julai itu dimudahcarakan oleh penulis muda Perlis, Ts. Dr. Norshah Aizat Shuaib atau lebih dikenali sebagai Shahkang.
Menurut Afif, keterbukaan dan semangat tinggi peserta untuk berkongsi serta menulis secara langsung memberikan petanda positif terhadap masa hadapan penulisan kreatif di peringkat remaja dan kanak-kanak.
“Saya kagum dengan keberanian peserta bertanya dan mencuba menulis secara spontan. Mereka bukan sekadar mendengar, tetapi turut memberikan reaksi yang menghidupkan sesi. Inilah benih yang akan menyuburkan dunia sastera akan datang,” katanya.
Afif turut berkongsi pendekatan yang digunakannya dalam menghasilkan karya melalui kaedah 4P, iaitu pengalaman, persekitaran, pemerhatian dan pembacaan, sebagai rangka asas dalam membina idea penulisan.
“Saya mula menulis semasa berada di Universiti Malaysia Kelantan (UMK). Dahulu saya pelajar teknologi kreatif, tetapi memilih untuk beralih arah ke bidang sastera selepas aktif membaca dan menyertai program DBP,” jelasnya.
Sebagai penulis muda yang telah memenangi beberapa sayembara penulisan, beliau turut menekankan kepentingan proses penyuntingan karya.
“Setiap karya yang ingin dihantar ke sayembara perlu digilap berkali-kali. Jangan mudah berasa puas hati. Walaupun pada pandangan kita sudah sempurna, panel mungkin nampak kekurangannya. Biar keyakinan itu hadir selepas diumumkan sebagai pemenang,” katanya.
Dalam sesi tersebut, beliau menutup dengan pesanan bermakna kepada semua peserta.
Menulis bukan kerja mudah. Tetapi saat masyarakat menghargai hasil tulisan kita, maka itulah detik manisnya. Perjuangan penulis muda belum selesai selagi dunia belum berakhir. Teruskan menulis dan teruskan bercinta dengan kata-kata.
Sesi bual bicara ini menjadi antara slot paling berimpak sepanjang program tiga hari dua malam yang berlangsung dari 28 hingga 30 Julai 2025.
Turut membimbing peserta ialah Dr. Husairi Hussin (cerpen) dan Nik Mohd Iznan Tuan Yaakub (puisi), selain pendedahan peluang penerbitan bersama-sama editor Dewan Pelajar, Nur Fatin Ainina Nor Azman dan penolong editor Tunas Cipta, Nurarifah Fatema Khairulsani.
Program ini berjaya mencipta ruang interaktif dan membina antara penulis muda, tenaga pengajar serta tokoh penulisan tempatan dalam memperkasakan bakat baharu dalam dunia sastera tanah air.