Diterbitkan pada 20 Julai 2025, 14:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Teater Muzikal Bukan Lagi Kita, arahan dan karya oleh Fathin Nabihah, Asy Asyad dan Nur Zahidah yang berlangsung pad 28 Jun 2025 di Dewan Budi Siswa, UUM.

Sintok – Teater muzikal bertajuk Bukan Lagi Kita yang dipentaskan oleh pelajar Kokurikulum Seni Lakon Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya mencuri tumpuan penonton menerusi paparan konflik cinta dan nilai persaudaraan yang sarat dengan emosi.

Dipentaskan di Pusat Budaya dan Seni UUM, karya ini menampilkan lakonan penuh penghayatan serta mesej sosial yang kuat, menjadikannya antara persembahan pelajar yang meninggalkan impak mendalam kepada khalayak.

Mengisahkan dua beradik perempuan yang jatuh cinta pada jejaka sama, konflik mula tercetus apabila perasaan yang disembunyikan akhirnya terbongkar dan mengundang perbalahan. Ketegangan memuncak apabila kedua-duanya berusaha menambat hati pemuda tersebut sehingga meretakkan hubungan kekeluargaan.

Bagaimanapun, kemelut berakhir apabila lelaki berkenaan memilih untuk mengahwini wanita lain, iaitu seorang gadis bandar yang telah lama dikenalinya, sekali gus membawa keinsafan kepada kedua-dua beradik itu.

Pementasan ini bukan sekadar mengetengahkan kisah cinta tiga segi, tetapi turut menyelitkan nilai kekeluargaan, kesedaran moral dan harga sebuah persaudaraan yang teruji oleh perasaan cinta.

Elemen teknikal seperti muzik latar, penataan cahaya dan set pentas yang ringkas, namun simbolik turut memperkukuh jalan cerita dan suasana dramatik sepanjang persembahan.

Pasukan produksi menerima pujian atas usaha kreatif mereka, membuktikan bahawa pelajar Kokurikulum Seni Lakon UUM mampu menghasilkan karya berkualiti tinggi yang bukan sahaja menghibur tetapi turut menyampaikan mesej bermakna kepada masyarakat.

Pementasan Bukan Lagi Kita diharap menjadi pencetus kepada lebih banyak karya kreatif yang lahir daripada anak seni institusi pengajian tinggi, khususnya dalam memartabatkan teater sebagai medium pendidikan dan kesedaran sosial.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi