Diterbitkan pada 14 Julai 2025, 16:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Program Meriah Kokurikulum: Kem 3 Lencana, yang melibatkan penyertaan pelajar Tahun 4 hingga 6 dari enam buah sekolah sekitar daerah Tengkera.

Melaka – Sebanyak 93 murid Tahun 4 hingga 6 dari enam buah sekolah sekitar daerah Tengkera berkumpul di Sekolah Kebangsaan (SK) Bertam Hulu bagi menyertai Program Meriah Kokurikulum: Kem 3 Lencana, baru-baru ini.

Program yang dianjurkan hasil kerjasama erat antara pihak sekolah dengan Persatuan Pengakap Malaysia (PPM) Daerah Tengkera ini bertujuan untuk memupuk semangat Pengakap serta mengukuhkan jaringan kerjasama antara sekolah dengan pihak daerah melalui pelbagai aktiviti berpasukan yang dibimbing guru dan pemimpin Pengakap berpengalaman.

Program sehari itu bukan sahaja melibatkan murid perdana, malah turut membuka penyertaan kepada murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), sekali gus menjadikannya pelantar inklusif yang mengutamakan penyertaan semua golongan murid.

Pesuruhjaya Pengakap Daerah Tengkera, Encik Tan Wu Keat, berkata bahawa antara sekolah yang mengambil bahagian ialah SK Bertam Hulu, SK Cheng, SK Taman Bukit Rambai, SK Bukit Rambai, SK Tanjung Minyak Dua dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bertam Ulu.

Menurut beliau, program seperti ini penting untuk memastikan semua murid di daerah Tengkera berpeluang menyertai Pengakap dan menerima anugerah rambu ketika masih bersekolah.

“Pihak daerah sentiasa bersedia memberikan sokongan kepada sekolah yang ingin menganjurkan program seumpama ini. Sepanjang program, pelbagai aktiviti berfokuskan kemahiran asas Pengakap, keselamatan diri, kelestarian alam sekitar, serta seni dan kraf tangan telah dijalankan.

“Kehadiran guru pengiring memainkan peranan penting dalam membimbing serta memberikan sokongan kepada murid supaya setiap aktiviti berjalan lancar dan selamat.

“Saya berharap sekolah-sekolah lain turut mengambil inisiatif seperti ini. Matlamat utama kami adalah melibatkan sebanyak mungkin murid dalam aktiviti Pengakap, bukan sekadar mendapatkan lencana, tetapi membina sahsiah dan keyakinan diri,” katanya selepas majlis penutup.

Encik Tan Wu Keat turut merakamkan penghargaan kepada Cikgu Roslizanawati dari SK Bertam Hulu yang memainkan peranan utama merealisasikan program ini dan membuka ruang kolaborasi antara enam sekolah terbabit. Beliau menyifatkan kerjasama itu sebagai contoh yang wajar diteruskan oleh semua pihak.

Sementara itu, Guru Penolong Kanan Kokurikulum SK Bertam Hulu, Puan Norhafizah Kamaludin, berkata bahawa program ini memberikan pengalaman bermakna kepada murid kerana mereka bukan sahaja mempelajari kemahiran Pengakap, malah turut didedahkan dengan nilai kelestarian, keselamatan diri dan kreativiti dalam kraf tangan.

“Aktiviti ini bukan sekadar untuk berseronok, malah melatih murid supaya lebih berdikari, berdisiplin dan belajar bekerjasama dalam pasukan dengan rakan-rakan dari sekolah lain,” katanya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi