Diterbitkan pada 11 Julai 2025, 09:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2021/2022 telah menyaksikan generasi penulis muda menempa nama dalam dunia sastera tanah air dan turut mencipta kejutan dengan memenangi anugerah bagi Kategori B: Cerpen Eceran dan Cerpen Remaja Eceran.

Kejayaan ini sekali gus memperlihatkan kematangan idea, keberanian berkarya dan potensi besar generasi baharu dalam memacu masa hadapan sastera negara.

Antara yang mencuri tumpuan ialah Siti Nadhirah Abdul Ghani, 32 tahun, yang memenangi Kategori B: Cerpen Remaja Eceran menerusi cerpen bertajuk “Lelaki yang Mengutip Serpihan Hatinya yang Berkecai”. Cerpen ini diterbitkan dalam majalah Tunas Cipta (TC) keluaran Disember 2021.

Menurutnya, kemenangan itu adalah satu bentuk pengiktirafan terhadap kejujuran dalam penulisan.

“Kebanyakan cerita saya adalah perca-perca kenangan yang saya peroleh di samping mengenali dan berbual dengan orang lain.

“Kemenangan kali ini merupakan satu anugerah yang tidak ternilai buat saya. Menang itu satu kelebihan lain, tetapi menulis untuk hidup juga adalah satu kelebihan lain,” ujarnya.

Turut diumumkan sebagai pemenang ialah Clariessa Anak Kesulai, 24 tahun, yang juga menerima anugerah bagi Kategori B: Cerpen Remaja Eceran. Karya beliau yang berjudul “Menenun Kasih”, mengangkat tema budaya yang berkaitan simbolik pakaian etnik Iban yang dikenali sebagai Pua Kumbu. Cerpen ini diterbitkan dalam majalah TC keluaran April 2021.

“Saya cuba memperlihatkan bagaimana suatu perbezaan agama yang berlaku tidak meleraikan silaturahim terutamanya budaya dan tradisi sedia ada dalam sebuah etnik,” katanya ketika ditemui selepas majlis.

Sementara itu, Muhammad Afif Zulhusni Azhar, 27 tahun, dengan cerpen bertajuk “Katak yang Terpenjara” lebih memfokuskan kritikan terhadap sosial masyarakat majmuk. Menurutnya, sastera bukan sekadar hiburan, tetapi sebuah seni yang penuh dengan kritikan dan pengajaran. Cerpen ini diterbitkan dalam majalah TC keluaran April 2021.

“Saya fikir, hiburan cuma secebis daripada sastera. Sastera lebih daripada itu. Seperti bunga yang pelbagai, perlu ada harumnya, warnanya yang memikat dan rupanya yang menawan,” katanya.

Dua lagi penulis muda yang berjaya mendapat penganugerahan dalam kategori yang sama, ialah Roslan Daud dengan karyanya “Jaguh Ayah” dan Nur Azshieldha Sahran dengan cerpen bertajuk, “Nikosa dan Tesla” bagi Kategori B: Cerpen Eceran.

Lima orang penulis ini mewakili suara baharu yang semakin mendapat tempat dalam dunia kesusasteraan tanah air, bukan sahaja dari segi teknik dan gaya, malah keberanian mereka menyuarakan perspektif yang lebih kontemporari dan mencabar.

Kemenangan para penulis muda ini mencerminkan perubahan arus sastera semasa yang semakin terbuka kepada tema peribadi, identiti dan realiti harian generasi muda. Berbeza dengan pendekatan konvensional yang menekankan perjuangan kolektif dan nasionalisme, karya baharu lebih bersifat introspektif, berani menyentuh isu marginal dan menggunakan gaya bahasa yang segar.

Barisan penulis muda yang menerima penganugerahan bagi Kategori B: Cerpen Eceran dan Cerpen Remaja Eceran yang berlangsung di Zenith Hotel, Purajaya. Dari kiri (atas): Siti Nadhirah dan Clariessa. Dari kiri bawah: Afif Zulhusni dan Roslan Daud.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi