Diterbitkan pada 2 Julai 2025, 14:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Johan bagi kategori sekolah rendah, Ahmad Fakeh Nor Mohd Shah dari SK Kurong Hitam, Padang Terap.

Sintok – Buat julung-julung kalinya dalam sejarah kesusasteraan negeri, Sayembara Deklamasi Puisi Sekolah-sekolah Negeri Kedah telah berjaya dianjurkan bersempena dengan sambutan Hari Puisi Malaysia (HPM) ke-5.

Acara penuh berprestij ini telah berlangsung pada 12 dan 13 Jun 2025 bertempat di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok.

Sayembara ini menghimpunkan sebanyak 20 orang pelajar dari 10 daerah seluruh negeri Kedah. Sayembara ini merupakan manifestasi usaha mengangkat martabat bahasa Melayu melalui puisi serta mencungkil bakat generasi muda dalam seni deklamasi dan pengucapan awam.

Majlis kemuncak pertandingan telah disempurnakan oleh Naib Canselor UUM, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Mohd Fo’ad Sakdan. Turut hadir memeriahkan acara ialah Presiden Persatuan Penyair Malaysia (PEMUISI), YBhg. Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim, yang memberikan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam merealisasikan penganjuran bersejarah ini.

“Sayembara ini bukan sekadar pertandingan. Sayembara ini merupakan platform pembentukan sahsiah, penyuburan nilai dan ketahanan budaya dalam era digital. Kita tidak hanya melahirkan pelajar yang celik puisi, tetapi juga celik jati diri dan warisan bangsa,” ujar YBhg. Dato’ Dr. Radzuan dalam ucapannya.

Beliau turut menjelaskan bahawa inisiatif ini merupakan hasil kerjasama antara PEMUISI, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), serta UUM.

Sayembara ini memperkenalkan dua kategori utama, iaitu Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah. Peserta dari kedua-dua kategori ini merebut dua buah piala pusingan istimewa, iaitu Piala Naib Canselor UUM bagi kategori Sekolah Menengah dan Piala Presiden PEMUISI bagi kategori Sekolah Rendah.

Pertandingan akhir yang berlangsung di Dewan SoIS, UUM, menyaksikan deklamasi bertenaga dan penuh emosi daripada para peserta, sekali gus memperlihatkan keupayaan puisi untuk merentasi batas usia dan zaman.

Yang berikut merupakan keputusan Sayembara Deklamasi Puisi Sekolah-sekolah Negeri Kedah:

Kategori Sekolah Menengah

  • Johan: Zahraa Qistina Mohamad Yusoff dari SMK Ibrahim, Kuala Muda, membawa pulang Piala Naib Canselor UUM, wang tunai RM300, piala iringan, hadiah buku dan sijil penyertaan.
  • Naib johan: Muhammad Ammar Dhiyauddin Mohd Nasir (SMK Dato’ Syed Ahmad, Padang Terap)
  • Tempat ketiga: Farah Nur Auni Najihah Azizan (SMK Jitra, Kubang Pasu)
  • Saguhati: Muhammad Shaiful Amir Saad (SMK Sik), Amirul Mukmin Suhaimi (SMA Baling), Nur Dasyifa Mohd Hamdan (SMK Mergong, Kota Setar), Nur Dini Amalina Mohd Yusri (Akademi Sains Pendang), Ain Syamimi Sa’ya (SMK Sultan Ahmad Tajuddin, Kulim Bandar Baharu), Muhammad Fakhrul Fauzan Abdul Kadir (SMK Langkawi), Muhammad Ziyad Fahmi Ibrahim Fikri (Maktab Mahmud Merbok, Kuala Muda)

Kategori Sekolah Rendah

  • Johan: Ahmad Fakeh Nor Mohd Shah dari SK Kurong Hitam, Padang Terap,  menerima Piala Presiden PEMUISI, wang tunai RM300, piala iringan, hadiah buku dan sijil penyertaan.
  • Naib johan: Nur Qaisarah Irdina Khairul Naim (SK Pulai, Baling)
  • Ketiga: Nur Ajlaa Humaira Muhammad Asyraf (SK Pendang, Pendang)
  • Saguhati: Adra Annur Dalisa Ahmad Anuar (SK Darul Aman Height, Kubang Pasu), Shaziana Najwa Mazlan (SK Pendang Pekan, Pendang), Muhammad Nazim Mohd Nasir (SK Bandar Baharu, Kulim Bandar Baharu), Nurul Alysha Mohd Khairul Anuar (SK Ambangan Height, Kuala Muda), Nur Amni Haziqah Khairul Fatihin (SK Sri Aman, Yan), Nur Ufairah Kazhimat Mansor (SK Padang Mat Sirat, Langkawi), Nur Fatini Mohd Shahrizan (SK Jeneri, Sik)
Barisan peserta yang mara ke peringkat akhir sayembara.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi