Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Seremban – Nur Rahmadanie Annuar, pemantun dari Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Abdul Samad (SMK SDASA), dinobatkan sebagai Pemantun Terbaik Sekolah Menengah Negeri Sembilan 2025 dalam Pertandingan Semarak Pantun Pelajar Sekolah Menengah Negeri Sembilan.
Pertandingan yang berlangsung bersempena dengan Pesta Buku dan Dekad Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Sembilan ini dianjurkan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan (PPANS) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Pertandingan ini bertujuan untuk mencungkil bakat muda serta memperkasakan seni pantun sebagai warisan puisi tradisional Melayu. Sebanyak 12 pasukan sekolah menengah dari seluruh Negeri Sembilan mengambil bahagian dalam pertandingan ini.
Dalam perlawanan akhir yang berlangsung sengit dan penuh dengan gaya bahasa yang tersendiri, SMK SDASA muncul sebagai juara setelah menewaskan SMK Datuk Undang Musa Al-Haj (SMK DUMA). Kemenangan itu menjadi lebih manis apabila Nur Rahmadanie turut diumumkan sebagai Pemantun Terbaik, menebus kekalahan pasukannya dalam edisi pertandingan tahun lalu.
“Saya sangat berterima kasih kepada Cikgu Nurain Kamal yang mencungkil bakat saya dalam seni berpantun serta tidak jemu membimbing kami sehingga meraih kejayaan bermakna ini,” kata Nur Rahmadanie, pelajar tingkatan lima SMK SDASA, dengan penuh rendah hati.
“Rakan-rakan pasukan saya juga sangat membantu. Kami berlatih tanpa jemu dan berusaha dengan gigih. Kemenangan ini adalah milik bersama,” tambahnya lagi.
Sebagai johan keseluruhan, pasukan pantun SMK SDASA membawa pulang hadiah utama yang disampaikan oleh Penolong Pengarah PPANS, Mohd Rizwan Mohd Yusof.
Pertandingan ini telah diadakan dalam dua peringkat, iaitu peringkat saringan dan suku akhir pada 25 Jun 2025, manakala pusingan separuh akhir dan akhir berlangsung pada 28 Jun 2025.
Penganjuran pertandingan ini membuktikan bahawa seni pantun terus subur dalam kalangan generasi muda dan berpotensi membentuk pelajar yang berketerampilan serta berbudaya tinggi, selaras dengan aspirasi pendidikan negara dan pemeliharaan warisan bangsa.