Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kuching – Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SKJC) Chung Hua No. 6 mencatatkan pencapaian cemerlang apabila meraih kejuaraan dalam dua kategori utama Festival Nama dari Suatu Sejarah Peringkat Sarawak 2025 yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Semerah Padi, Kuching.
Menerusi wakilnya, Tan Li Wen, sekolah berkenaan dinobatkan sebagai juara Pertandingan Bercerita Tahap 2 selepas mengetepikan 16 peserta lain dari seluruh negeri. Tempat kedua dimenangi oleh Qhayra Nur Imani Mohd Hazlie dari SK Meranek, Kota Samarahan, manakala tempat ketiga diraih oleh Sharifah Safiya Zahrah Wan Azan Suffian dari SK RPR Jalan Astana.
Kejayaan berganda turut dicapai dalam Pertandingan Mewarna Tahap 1, apabila pelajarnya, Adora Tian Nian Tse, mengungguli kategori tersebut. Naib johan disandang oleh Armel Medina binti Arifizan dari SK Siol Kanan, manakala tempat ketiga menjadi milik Thien Ke Qing dari SJKC Chung Hua No. 2.
Bagi kategori prasekolah, Nur Unna Humairah Mohammad Amirulriswan dari SK Pangkalan Kuap muncul juara, diikuti Nurul Aamina Tahil dan Nur Aryana Sofea Mohd Ramadhan, kedua-duanya dari SK Bandar Samariang, yang masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga.
Festival yang bertujuan untuk menyemarakkan kecintaan terhadap bahasa dan kesusasteraan ini disertai sebanyak 24 buah sekolah dari daerah Kuching, Padawan, Bau, Lundu dan Samarahan. Festival ini dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak dengan kerjasama DBP Kuala Lumpur melalui Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pengarah DBP Sarawak, Dr. Azizul Haji Ismail, yang turut menyampaikan buku, cek cura dan sijil penghargaan kepada para pemenang. Yang turut hadir sama ialah wakil Pegawai Pendidikan Daerah Kuching, Puan Siti Noraya Marikan; Guru Besar SK Semerah Padi, Puan Aida Kertini Hamden Hamid serta Encik Abdul Halim Abdul Latip dari DBP Kuala Lumpur.
Festival ini menjadi medan penting dalam mencungkil bakat murid serta melahirkan generasi yang berketerampilan tinggi, kreatif dan berwawasan selaras dengan aspirasi negara MADANI yang berdaya saing di peringkat global.