Diterbitkan pada 29 Mei 2025, 18:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Penampilan istimewa YBhg. SN Dato’ Seri A. Samad Said dalam Wacana Minda Keratif Sasterawan Negara di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur – Pengalaman hidup dan perantauan menjadi sumber penting yang mendorong pengkarya dalam penghasilan karya, demikian inti pati utama yang dikongsi ahli panel dalam Wacana Minda Kreatif Sasterawan Negara yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, petang tadi.

Program anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu memberikan fokus berkaitan dengan “Inspirasi dan Pengalaman dalam Membentuk Karya”, serta menampilkan empat tokoh Sasterawan Negara (SN), iaitu YBhg. SN Profesor Emeritus Muhammad Haji Salleh, YBhg. SN Datuk Zurinah Hassan, YBhg. SN Datuk Dr. Siti Zainon Ismail dan YBhg. SN Dato’ Rahman Shaari. Majlis turut diserikan dengan penampilan istimewa YBhg. SN Dato’ Seri A. Samad Said.

YBhg. SN Profesor Emeritus Muhammad Haji Salleh berkongsi tentang pengalaman kehidupannya yang berjaya membentuk kepengarangan beliau.

Menurut SN Muhammad Salleh, pembacaan karya terjemahan dari negara luar serta pengalaman peribadi sepanjang perantauannya menjadi pemangkin utama dalam pembentukan karya-karya beliau. Melalui bacaan buku dan pengalaman orang di sekeliling beliau, menjadikan sesebuah karya itu wujud dan terbit.

“Perkara-perkara yang saya kutip sepanjang perjalanan hidup menjadi telaga idea. Bacaan karya terjemahan dari Rusia, Yunani, Rom, China dan Jepun membuka ruang kreativiti di luar lingkaran biasa,” kata SN Muhammad Salleh.

Beliau turut berkongsi bahawa perpindahan demi perpindahan semasa era penjajahan Jepun menjadikan beliau seorang yang menyendiri dan “kesepian”. Kesepian itu sendiri menjadi pemangkin kepada proses penulisan beliau sewaktu di Singapura.

Sementara itu, SN Zurinah Hassan pula menegaskan bahawa kematangan dalam penulisan berkait rapat dengan pengalaman dan kedewasaan dalam kehidupan. Jelas beliau,

Karya pertama saya lahir daripada minat terhadap lagu, pantun dan cerita lisan. Pemikiran mengenai bangsa, negara dan masyarakat hadir seiring dengan perkembangan minat dan pengalaman.

SN Rahman Shaari pula berkongsi bahawa pantun dalam lagu tradisional seperti lagu Canggung yang didengarnya sewaktu di Perlis, menjadi titik tolak kepada kecenderungan beliau dalam menghasilkan karya-karya puisi termasuk pantun.

Berbeza dengan SN Siti Zainon Ismail yang lebih menjurus dalam dunia seni lukis, mengatakan bahawa perjalanan penulisan beliau didorong oleh galakan daripada Sasterawan Negara Dato’ Dr. Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) dan karya rakan-rakan sasterawan yang juga kenalan rapat ayah beliau. Hal ini menyebabkan SN Siti Zainon terinspirasi untuk menghasilkan karya.

Majlis tersebut turut diserikan dengan persembahan bacaan puisi, penampilan  istimewa daripada SN Dato’ Seri Dr. A. Samad Said, yang menarik perhatian khalayak dan menyuntik kemeriahan PBAKL 2025 pada petang tersebut.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi