Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTanjong Malim – Sekumpulan mahasiswa jurusan Kesusasteraan Melayu dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengharumkan nama universiti apabila berjaya meraih Pingat Emas dalam pertandingan berprestij EDU@INNOVATE International Education Innovation Competition 2025 yang berlangsung pada 19 dan 20 Mei lalu di Dewan Tuanku Canselor, UPSI.
Pasukan dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi itu mempersembahkan projek inovatif bertajuk “KOMISIS”, yang merupakan singkatan kepada komik dan sinopsis, berasaskan teks Permata Sastera Melayu yang digunakan dalam pengajaran pelajar Tingkatan Enam. Inisiatif kreatif ini menggabungkan elemen visual, interaktif dan nilai pendidikan dalam satu medium yang menarik serta berkesan untuk generasi muda.
Pertandingan peringkat kebangsaan itu menghimpunkan inovator pendidikan dari pelbagai universiti seluruh negara dan menjadi platform utama untuk mengetengahkan idea serta inovasi baharu dalam bidang pendidikan. Projek ini turut menguji keupayaan peserta dari segi inovasi, kolaborasi, komunikasi, penyelidikan serta pemikiran kritis dalam menangani isu pendidikan semasa.
Menurut seorang daripada ahli kumpulan, “Ini kali pertama kami menyertai pertandingan sebegini dan alhamdulillah, rezeki berpihak kepada kami untuk meraih pingat emas.”
Kejayaan ini sekali gus mengukuhkan reputasi UPSI sebagai institusi unggul dalam bidang pendidikan dan inovasi, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan komitmen universiti dalam melahirkan pendidik masa hadapan yang kreatif serta berdaya saing.
Dalam pada itu, pencapaian ini turut menyangkal salah faham yang timbul susulan penulisan artikel di Dewan Sastera bertajuk “Kesusasteraan Melayu Komunikatif: Menyuluh dalam Kelam”.
Artikel tersebut bukanlah menyatakan ketiadaan teks rujukan dalam subjek Kesusasteraan Melayu Komunikatif, tetapi sebaliknya menekankan kekurangan bahan rujukan yang bersifat menyeronokkan dan mampu menarik minat pelajar.
Projek “KOMISIS” membuktikan bahawa inovasi dalam bentuk komik interaktif mampu mengisi ruang tersebut dengan lebih berkesan dan kreatif.