Diterbitkan pada 26 Mei 2025, 12:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Potensi dan bakat besar generasi baharu sastera terserlah apabila tujuh buah buku hasil karya kanak-kanak dan remaja dilancarkan dalam Majlis Pelancaran Buku Penulis Muda di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), semalam.

Majlis yang diadakan bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 itu disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Mohd Anuar Haji Rethwan.

Pelancaran buku berkenaan merangkumi judul antologi cerpen Minggu Penulis Remaja (MPR), iaitu Metropolitan Futurum, Kebaya 2.0, Cek Mek Molek dari London; antologi cerpen Minggu Penulis Kanak-kanak, iaitu Indahnya Berkain Sarung Batik dan Bandar Puding Karamel; serta dua buah novel fiksyen sains, iaitu Noari 8 dan Klikon.

Beliau dalam ucapannya berkata, sejak penubuhan DBP pada tahun 1956, institusi itu sentiasa menumpukan usaha membangunkan bakat dalam bidang penulisan kreatif termasuklah puisi, cerpen dan novel, selaras dengan objektifnya, iaitu membina serta mengetengahkan bakat baharu sebagai penulis pelapis tanah air.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Mohd Anuar Haji Rethwan ketika menyampaikan ucapannya.

Menurutnya lagi, program MPR yang telah berlangsung sejak beberapa dekad lalu, melahirkan banyak pengarang ternama seperti Ahmad Patria Abdullah, Zaen Kasturi, Nisah Haron, Rahimidin Zahari dan Lily Haslina Nasir.

Karya mereka bukan sahaja diiktiraf pada peringkat kebangsaan, malah meraih anugerah serantau dan antarabangsa seperti S.E.A. Write Award dan Hadiah Penulis Muda MASTERA.

“Zaen Kasturi telah memenangi anugerah S.E.A. Write Award di Bangkok, sementara Nisah Haron dan Rahimidin Zahari pula memenangi Hadiah Sasterawan Muda MASTERA,” ujarnya.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Mohd Anuar Haji Rethwan (dua dari kiri) ketika menyempurnakan gimik pelancaran diiringi oleh Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa (dua dari kanan); Ketua Editor Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar yang menjalankan tugas Pengarah Jabatan Penerbitan (satu dari kiri); dan Ketua Editor Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja, YBrs. Puan Noriyani Yusoff (satu dari kanan).

Pada masa yang sama, beliau mengimbau kembali dua program utama anjuran DBP, iaitu Minggu Penulis Remaja dan Minggu Penulis Kanak-kanak sebelum ini yang menyaksikan semangat dan keinginan tinggi dalam kalangan peserta muda untuk menjadi penulis, khususnya kanak-kanak bawah 12 tahun dari seluruh negara.

“Para pembimbing telah memberikan bimbingan yang sistematik dalam mencurahkan ilmu kepada kanak-kanak ini menulis berdasarkan kemampuan, umur dan penguasaan bahasa mereka,” katanya.

Selain itu, beliau menyeru para penulis muda agar menjadi suara kepada generasi mereka dengan mengangkat isu yang dekat dalam jiwa mereka, selain menjadi jambatan antara generasi muda dengan masyarakat umum.

Penulisan anda mestilah bersifat berani, bernas dan mampu mencabar norma sebelum ini bagi membuka ruang pembaharuan.

Setiap generasi dituntut menghasilkan karya dengan teknik baharu, bukan meneruskan kaedah atau cara lama.

Beliau turut menekankan bahawa penulis muda perlu membuat pembaharuan, penerokaan dan eksperimentasi yang sesuai dengan zaman dan khalayak masa hadapan kerana mereka merupakan generasi celik digital (digital native).

Tema, persoalan, gaya penulisan dan pendekatan menghidangkan karya mestilah sesuai dengan khalayak baharu anda.

Oleh itu, beliau menzahirkan harapan kepada para penulis muda supaya terus menghasilkan karya yang lebih baik, seterusnya menyumbang kepada perkembangan sastera negara.

Menyedari hakikat perkembangan teknologi bakal mempengaruhi pendekatan penulisan dan bentuk penerbitan juga, beliau menegaskan bahawa DBP akan terus menyesuaikan diri dengan keperluan semasa.

Dalam pada itu, turut diadakan Dialog Bersama-sama Penulis yang mengupas tajuk Kecerdasan Buatan dalam Karya Sastera: Terancamkah Penulis?, menampilkan barisan ahli panel seperti Salina Ibrahim, Lily Haslina Nasir, Farra Alliyah Faizul, Amir Hadi Mahrizal dan Ilya Alias.

Sesi dialog bersama-sama penulis dengan tajuk “Kecerdasan Buatan dalam Karya Sastera: Terancamkah Penulis?” di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa; Ketua Editor Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar (yang menjalankan tugas Pengarah Jabatan Penerbitan DBP); Ketua Editor Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja, YBrs. Puan Noriyani Yusoff, karyawan DBP, penulis muda, guru dan pelajar.

Kredit Foto: Khairul Azhar
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi