Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuching – Sebanyak 68 orang pelajar Islam tingkatan 4 dari seluruh Sarawak telah menyertai Kem Daie Pena Muda Peringkat Negeri yang berlangsung pada 5 hingga 7 Mei 2025 di Institut Kemahiran Islam Sarawak (IKMAS). Program ini bertujuan untuk mencungkil bakat baharu dalam bidang penulisan kreatif, khususnya cerpen bertemakan dakwah.
Kem ini merupakan hasil kerjasama antara Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Pejabat Pendidikan Daerah Samarahan dan IKMAS, dalam usaha memperkasakan potensi penulis pemula dalam kalangan pelajar sekolah menengah.
Penyertaan peserta pada kali ini telah mencatatkan jumlah tertinggi sejak kem ini diperkenalkan dengan membabitkan peserta dari daerah Kuching, Samarahan, Bau, Lundu, Serian, Song, Meradong, Sarikei, Sibu dan Miri.
Sebelum kem dijalankan, pihak penganjur telah mengadakan sayembara penulisan cerpen dakwah bermula Februari 2025 bagi mengenal pasti pelajar yang berbakat dan berminat dalam penulisan. Sayembara ini membuka peluang kepada mereka yang tidak pernah menyertai bengkel atau pertandingan penulisan sebelum ini.
Menurut kenyataan urus setia, objektif utama kem ini adalah untuk mengenal pasti pelajar yang berpotensi tinggi dalam penulisan cerpen bagi mewakili Sarawak ke peringkat kebangsaan, selain melahirkan generasi penulis baharu dari Bumi Kenyalang yang mampu meneruskan legasi penulisan tanah air.
Pada kali ini, Kem Daei Pena Muda Peringkat Negeri ini telah melibatkan sebanyak empat fasilitator berpengalaman, iaitu Encik Mohamad Ali Salim (Pejabat Pendidikan Daerah Simunjan), Puan Nur Azshieldha Sahran (Pejabat Pendidikan Daerah Samarahan), Puan Kamisah Beni (Sekolah Kebangsaan Bako) dan Encik Muhd. Shahjeehan Sahran (Sekolah Kebangsaan Kuala Matu). Para peserta telah dibahagikan kepada empat kumpulan untuk memastikan proses bimbingan berlangsung secara tersusun dan efektif.
Sepanjang tiga hari program berlangsung, pelbagai aktiviti turut dijalankan antaranya termasuklah sesi taaruf, pengenalan kem, bimbingan penulisan bersama-sama fasilitator serta pemurnian karya pelajar. Pendekatan ini memberikan ruang kepada peserta untuk memperhalus karya mereka dengan lebih mendalam.
Majlis penutupan kem telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertubuhan Kegiatan Dakwah Islamiah Sekolah-sekolah (PEKDIS) Negeri Sarawak, Tuan Haji Hossen Haji Marip. Dalam majlis tersebut, sebanyak 10 orang pelajar telah diumumkan sebagai wakil Sarawak ke Kem Daie Pena Muda peringkat kebangsaan, satu pengiktirafan besar terhadap usaha dan potensi mereka dalam bidang penulisan.