Diterbitkan pada 22 Mei 2025, 11:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuantan – Bersempena dengan Ulang Tahun ke-68 penubuhan Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) yang ditubuhkan pada 17 Mei 1957, sebanyak 68 buah puisi telah dideklamasikan dalam satu program santai puisi yang berlangsung di Kafe KopiKu, Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang (PPAP).

Program anjuran DPMP Kawasan Kuantan ini berjaya menghimpunkan sebanyak 25 orang ahli yang hadir bagi menyemarakkan acara kesenian yang menekankan nilai sastera dan kecintaan terhadap bahasa Melayu dalam suasana santai, namun bermakna.

Majlis dimulakan dengan deklamasi penuh semangat oleh Pemangku Ketua DPMP Kawasan Kuantan, Tuan Haji Asmui Mustapha, menerusi puisinya bertajuk “Seekor Keliru”. Yang turut serta, Ahmad Farihan Abdul Manan yang membawakan puisi berjudul “Wajah di Sebalik Bayang”, diikuti oleh para penggiat sastera tanah air seperti HM Nordin, AK Hidayat, Che Norsiah, Julia Bebe, Ts Hamka Embong, Zulaikha Adam, Engku Rohana, Anis Eshqi dan Azah Jalil.

Menurut Setiausaha DPMP Kawasan Kuantan, Ahmad Farihan Abdul Manan, program ini menjadi platform untuk menyuburkan apresiasi sastera dalam kalangan masyarakat secara terbuka dan merakyatkan puisi kepada khalayak pelbagai lapisan.

“Program ini bukan sahaja meraikan Ulang Tahun ke-68 DPMP, malah menjadi jambatan antara pengkarya dengan masyarakat umum. Kami amat menghargai sokongan pihak PPAP dan pengurusan Kafe KopiKu yang menyediakan ruang untuk acara ini berlangsung dalam suasana santai, mesra dan inklusif,” katanya.

Acara ini turut mendapat perhatian pengunjung yang hadir, malah beberapa daripada mereka tampil secara spontan bagi mendeklamasikan sajak pilihan masing-masing, menjadikan suasana lebih hidup dan menyentuh hati.

Seorang mahasiswa Universiti Islam Pahang Sultan Haji Ahmad Shah (UniPSAS), Daniel, yang turut membaca sajak dalam program tersebut menyatakan,

Sebagai anak muda, saya rasa teraspirasi melihat penulis berpengalaman berkongsi pentas bersama-sama kami. Perkongsian ini secara tidak langsung membuka ruang untuk generasi baharu mendekati dan memahami puisi Melayu secara lebih mendalam.

Sementara itu, wakil Jawatankuasa DPMP Kawasan Kuantan, Norazah Jalil, turut melahirkan rasa bangga dengan sambutan hangat daripada ahli serta masyarakat umum. Kongsinya,

Puisi hari ini membuktikan bahawa ia tidak hanya hidup dalam dewan dan buku, tetapi juga bernafas dalam ruang santai seperti kafe. Puisi akan kekal relevan dan menyentuh jiwa, tanpa mengira usia.

Program yang bermula pada pukul 4.00 petang dan berakhir sekitar pukul 5.45 petang itu ditutup dalam suasana penuh keakraban dan kecintaan terhadap puisi Melayu, memperlihatkan bahawa seni sastera terus hidup dan berdaya saing dalam pelbagai medium dan ruang.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi