Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kuantan – Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkasa budaya ilmu melalui pelantar digital apabila tampil dengan episod terbaharu audi siar (podcast) Sembang Santai bertemakan “Ilmu, Buku dan Inspirasi”, yang mengetengahkan figura istimewa, Pegawai Latihan TVET UMPSA, Ts. Haji Mohamad Hamka Embong yang juga dikenali sebagai penulis prolifik dengan nama pena HAMKA Keretamayat.
Dikenali dengan gaya penulisan bersahaja, jujur dan penuh ironi, beliau berkongsi pengalaman mendalam mengenai ibadah haji, bukan hanya dari aspek logistik tetapi juga perjalanan spiritual yang menuntut kesabaran dan tawakal.
“Haji bukan sekadar perjalanan fizikal ke Mekah, tetapi perjalanan jiwa mencari Tuhan yang boleh dinikmati dengan senyuman dan keinsafan yang mendalam,” ujar beliau dalam nada penuh keinsafan.
Episod yang dikendalikan oleh moderator berpengalaman, Norsaini Abdul Samat, membuka ruang kepada pendengar untuk menyelami sisi peribadi dan rohani penulis melalui trilogi bukunya yang menyentuh hati, Haji Seronok!. Trilogi tersebut merakamkan pengalaman beliau mengerjakan haji dalam bentuk penceritaan yang menggabungkan elemen humor, dramatik, refleksi dan spiritual. Sebuah gaya yang jarang diketengahkan dalam penulisan ibadah.
Walaupun berasal daripada latar belakang teknikal dan TVET, Ts. Haji Mohamad Hamka turut aktif dalam dunia penulisan sastera. Beliau kini merupakan Ahli Jawatankuasa Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) serta penggerak Sayap Muda DPMP, sekali gus membuktikan bahawa cinta terhadap ilmu dan kesusasteraan mampu merentas batas kerjaya.
Selain Haji Seronok!, beliau telah menghasilkan pelbagai karya lain merangkumi genre motivasi, anekdot dan novel. Antara karyanya yang popular termasuklah Kisah Laki Bini, Kerana Dia Anak Syurga dan Mengeteh di Kubur Ayah. Beliau juga pernah menerima Anugerah Penulisan Rencana Terbaik UMPSA bagi kategori Kenegaraan, Sains Sosial dan Kemanusiaan.
Podcast ini bukan sahaja memperkasa budaya membaca dan menulis, malah menjadi wadah inspirasi kepada pendengar untuk menilai semula hubungan mereka dengan ilmu, kehidupan dan Tuhan.