Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Keputusan rasmi Sayembara Hadiah Puisi T. Alias Taib II telah diumumkan hari ini dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Seminar Dato’ Hassan Ahmad, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Keempat-empat penerima bagi sayembara pada kali ini didominasi oleh penulis muda yang dilihat berjaya menguasai kemahiran bahasa dengan permainan imej yang mantap.
Sayembara ini merupakan edisi keempat penganjurannya di bawah penjenamaan baharu sebagai Hadiah Puisi T. Alias Taib II. Pada tahun ini, pihak penganjur menerima sebanyak 107 penyertaan pada peringkat awal, sebelum disaring kepada 25 manuskrip akhir yang dinilai oleh panel juri profesional. Senarai finalis telah diumumkan secara rasmi pada pagi tadi.

Menurut Ainul Muaiyanah Sulaiman yang mewakili panel juri, sayembara anjuran KataPilar pada tahun ini menunjukkan perkembangan yang sangat positif, khususnya dari segi penyertaan penulis muda dan pendatang baharu dalam dunia penulisan puisi. Beliau menyifatkan penyertaan ini sebagai tanda keberanian generasi baharu untuk mengetengahkan karya yang segar, istimewa dan berdaya saing.
“Penyertaan yang pelbagai latar ini diyakini mampu melahirkan karya-karya bermutu tinggi yang bukan sahaja menarik minat peminat sastera sedia ada, malah mampu menjangkau khalayak baharu yang hadir dari latar belakang bukan sastera,” ujar beliau.
Senarai Pemenang Sayembara Hadiah Puisi T. Alias Taib II adalah seperti yang berikut:
Hadiah Utama:
Finalis:
Majlis penyampaian hadiah turut diserikan dengan kehadiran tokoh-tokoh penting dalam dunia sastera dan bahasa, antaranya termasuklah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Anwar Ridhwan; Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa; Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai serta YM Engku Roestam Alias, anak kepada Allahyarham T. Alias Taib.