Diterbitkan pada 9 Mei 2025, 07:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

3:54 seperti kebiasaan

hari yang membezakan

jarang-jarang terjadi

apa pula kali ini

 

langkah mengejar waktu

dalam lumba yang sendu

berserta raut dan hati Tuhan tahu

aku menunggu tren itu

 

fikiran bergejolak

umpama air dilempar batu

termangu di jendela kaca

teringat-ingat curahan keringat

bisik-bisik derhaka mula kedengaran

tertanya-tanya apa kesudahan

 

dalam perjalanan aneh ini

aku bersatu dalam kehijauan

akal meligat dalam keghairahan

kewarasan terbang di awangan

hiruk-pikuk memenuhi ruangan

suara wanita-wanita tua lupa diri bertakhta dalam kesempitan

 

lemas dalam bicara kosong

aku menunduk ke bumi

menyaksikan lantai kelabu menjadi sungai;

jasad longlai

nurani lenyai

dan aku,

hampir saja terkulai

 

sesuai perkiraan

5:26

tren berhenti

kaki memijak tanah muasal

berlari-lari anak

bersama harta di pundak

aku mencari syurga di lubuk kematian

 

Afrina Aziz,

1 November 2023, Perjalanan ke Butterworth

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi