Diterbitkan pada 4 Mei 2025, 12:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pulau Pinang – Perkongsian pengalaman penulis tersohor negara, Osman Ayob, dalam Program Bicara Tokoh Penerima S.E.A. Write Award 2022 telah berjaya menyemarakkan semangat membaca dan menulis dalam kalangan pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pulau Pinang dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Program yang berlangsung pada 30 April 2025 itu merupakan anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI), dan Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) USM, dengan kehadiran sebanyak 80 orang peserta.

Dalam ucapan perasmiannya, Dekan PPPJJ, Profesor Madya Dr. Zulnaidi Yaacob, menyeru para pelajar agar meneladani tokoh sastera negara sebagai contoh insan berilmu dan berintegriti.

“Pelajar mesti menanam budaya membaca dan menulis sebagai asas pembinaan pemikiran. Tokoh seperti Osman Ayob, iaitu alumni PPPJJ, telah membuktikan bahawa karya sastera mampu membentuk nilai dan jati diri bangsa,” katanya.

Sesi bicara yang dikendalikan oleh Puan Mawarni Ibrahim turut menampilkan dua panel profesional, Dr. Husairi Hussin dan Dr. Mohamed Nazreen Shahul Hamid, yang memberikan kupasan kritis terhadap tema perjuangan, kemanusiaan, sejarah dan nilai budaya yang sering hadir dalam karya Osman Ayob.

Para pelajar turut diberikan peluang berdialog secara langsung bersama-sama tokoh dan panel, menjadikan sesi ini bukan sekadar wacana intelektual, tetapi juga pengalaman bermakna yang membuka minda terhadap peranan sastera dalam pembinaan masyarakat berfikir dan berbudaya.

Program ini bukan sahaja membuka ruang penghayatan terhadap dunia kesusasteraan, malah turut menjadi pelantar yang mampu membina aspirasi dan inspirasi baharu dalam kalangan generasi muda.

Turut hadir memeriahkan program ini ialah Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Encik Abang Haliman bin Abang Julai.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi