Diterbitkan pada 2 Mei 2025, 10:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Program FOCASE: Forum Cakna Serumpun telah berlangsung pada 21 April 2025 di Dewan SITC, UPSI.

Tanjong Malim – Pada 21 April 2025, Program FOCASE: Forum Cakna Serumpun telah berlangsung dengan jayanya di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Program ini diadakan bersempena dengan Program Dwisutra: Jalinan Budaya Antarabangsa, yang menyaksikan pelbagai perbincangan dan perkongsian budaya antara pelajar dengan pensyarah dari Malaysia dan Indonesia.

Dengan tema “Selamatkah Kita dalam Kesendirian?”, forum ini bertujuan untuk memperluas pemahaman mengenai isu keselamatan diri dalam kehidupan seharian. Forum tersebut dikendalikan oleh pengacara terkenal tanah air, Ahmad Fedtri Yahya, yang juga merupakan Ikon Bahasa Kebangsaan dan personaliti televisyen.

Acara dimulakan dengan sebuah lakonan berunsur kesedaran sosial yang mengangkat tema keselamatan diri dengan memaparkan keperluan untuk peserta lebih cakna terhadap keselamatan, terutamanya dalam kalangan golongan muda.

Forum ini turut menampilkan barisan panel profesional yang berwibawa, antaranya termasuklah Peguam Pelatih dan graduan Undang-undang, Syariah dan Bahasa Arab, Encik Harith Rezal; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Gangguan Seksual UPSI dan Timbalan Pengerusi Etika Pendidikan Manusia, Prof. Madya Dr. Nurul Ain Hidayah Abas; pelajar jurusan Ilmu Komunikasi dari Indonesia, Encik Achmad Fadlillah dan Ketua Program Psikologi Universitas Bina Darma, Indonesia, Dr. Itryah Syamsul Bahrun.

Barisan panel ini membincangkan pelbagai isu keselamatan antaranya termasuklah isu keselamatan wanita di tempat awam, pemahaman terhadap istilah “alone” dan “lonely” serta budaya masyarakat Palembang yang mengutamakan pergerakan secara berkumpulan demi keselamatan.

Selain itu, forum ini turut menekankan nilai berjemaah (alaikum bil jamaah) dalam kalangan mahasiswa dan menanamkan kesedaran bahawa keselamatan diri adalah tanggungjawab bersama. Melalui perbezaan budaya antara negara serumpun, forum ini dilihat memberikan impak positif kepada kesejahteraan masyarakat, khususnya dalam meningkatkan kesedaran tentang keselamatan diri.

Sambutan hangat terhadap forum ini berjaya dibuktikan dengan kehadiran lebih 90 peratus mahasiswa, yang memperlihatkan betapa pentingnya acara ini dalam merapatkan hubungan antara mahasiswa dengan ahli akademik daripada pelbagai latar budaya, selain mendidik mereka mengenai isu keselamatan yang relevan dalam kehidupan seharian.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi