Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Lagu Raya Pum Pang, nyanyian Fazura dan Syasya Rizal, bersempena dengan sambutan Hari Raya AidilFitri yang bakal tiba, kini menjadi lebih daripada sekadar hiburan.
Lirik lagu ini yang penuh dengan mesej mendalam telah menarik perhatian banyak pihak kerana menekankan peri pentingnya menjaga adab semasa menziarahi sanak saudara. Antara nasihat yang diberikan termasuklah menghindari gosip dan memberi tumpuan kepada kebersamaan dalam hubungan kekeluargaan.
Sejak dilancarkan, Raya Pum Pang telah menerima pelbagai reaksi positif daripada peminat muzik tempatan. Ramai yang memuji lirik lagu tersebut yang bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga memberikan pengajaran yang bermakna.
Seorang daripada pengguna media sosial X berkata bahawa,
Lagu ni bukan sekadar hiburan, tetapi memang ada terselit pengajaran yang bermakna. Sangat kena dengan budaya kita semasa Hari Raya!
Seorang lagi netizen di laman Instagram turut berkongsi,
Setuju! Jangan terlalu sibuk bergosip sewaktu raya, lebih baik kita eratkan silaturahim.
Dengan gabungan melodi yang rancak dan lirik yang penuh makna, Raya Pum Pang bukan sahaja menjadi lagu raya pilihan ramai, tetapi juga satu peringatan berguna bagi masyarakat untuk meraikan AidilFitri dengan lebih bermakna.
Antara mesej utama lagu ini adalah untuk mengingatkan agar tidak berlebihan dalam berbual sehingga boleh menyinggung perasaan orang lain. Hal ini turut menyentuh realiti masyarakat yang kadangkala terlalu sibuk berbual sehingga mengeluarkan kata-kata yang boleh menyakitkan hati orang lain. Lagu ini juga menegaskan pentingnya untuk tidak bergosip atau menyebarkan fitnah.
Lagu Raya Pum Pang kini boleh dinikmati di platform digital seperti YouTube dan Spotify.