Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangZaman kanak-kanak
Itulah saksi masa
Detik aku sangat bahagia.
Berlari berkejaran
Tanpa peduli sesiapa
Berteriak bertempik
Dunia aku yang punya.
Berguling di lopak hujan
Menggelinjang di padang permainan
Tanpa peduli ibu di rumah
Sudah menunggu bersama jelingan
Dan hadiah istimewa libasan rotan.
Mengejar ayam hingga hujung desa
Sebelum aku dihambat ibu
Lalu dijerkah, lagi disesah
Itulah sepotong kenangan
Yang aku sentiasa simpan.
Sekejap sahaja rasa taubat
Biar badan lebam berbirat
Aku tetap tersengih suka
Tiada duka lagikan nestapa.
Langsung tiada sebarang tanda
Mengalir deras si air mata
Selebihnya ketawa ria
Hati itu sentiasa girang gembira.
Zaman kanak-kanak
Manis umpama gula nira
Hidup indah tanpa berpura-pura
Di mana aku memandang dunia
Bagai ada sekebun bunga.
UiTM Shah Alam.