Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kuantan – Mahasiswi tahun empat Jurusan Sains Matematik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan, Che Rafidah Rahim, telah berjaya dinobatkan sebagai johan dalam Pertandingan Baca Puisi yang diadakan bersempena dengan Sambutan Israk Mikraj.
Pertandingan yang berlangsung pada 26 Januari 2025 di Auditorium Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) ini merupakan anjuran Sayap Remaja Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) – UnIPSAS dengan kerjasama penuh daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Tengah.
Peserta pertandingan ini diminta memilih satu daripada puisi daripada buku Himpunan Puisi Islam 1.0: Menelusuri Ayat-ayat Pilihan Keagungan Tuhan Rabbul Jalil karya H.A. Munawar.
Che Rafidah yang memilih puisi bertajuk “Zikir yang Dilupakan” berjaya menewaskan 15 peserta lain yang terdiri daripada pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) serta pelajar sekolah menengah sekitar Kuantan untuk meraih gelaran juara dalam pertandingan yang julung-julung kali diadakan.
Beliau yang bersyukur atas kemenangan ini turut mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur. Kongsi beliau,
Apa-apa yang dipelajari semasa bengkel pengucapan dan penulisan puisi minggu lalu telah saya praktikkan sepenuhnya. Alhamdulillah, usaha sememangnya tidak mengkhianati hasil.
Kongsinya lagi, antara cabaran terbesar yang dihadapi adalah untuk memahami bait-bait puisi yang ditulis, mengatasi rasa gemuruh, serta mengawal stamina suara agar dapat mengawal pernafasan dengan baik demi memastikan penyampaian yang lancar dan bertenaga.

Sebagai johan, Che Rafidah membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM200 dan sijil sumbangan daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Beliau berharap agar dunia deklamasi puisi terus dihargai, terutama dalam kalangan golongan muda dan berkembang sebagai medium penyampaian mesej yang bermakna.
Naib johan pertandingan disandang oleh Nur Azryn Athirah Zamzuri dengan puisi “Berzikir buat Kekasih”, manakala tempat ketiga pula menjadi milik Nur Arina Johari dengan puisi “Seindah Taubat Kekasihmu”. Masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM150 dan RM100, selain sijil sumbangan DBP.

Pertandingan ini turut diserikan dengan persembahan deklamasi sajak oleh beberapa Deklamator Pahang, antaranya termasuklah Amirul Afiqq, Afiffudin Nordin, A.K Hidayat, dan Zulaikha Adam. Selain itu, terdapat juga persembahan nyanyian lagu puisi oleh Munsyi Bahasa, Tuan Saruchi Sawal.
Majlis ini telah disempurnakan oleh Dekan Fakulti Bahasa dan Pengajian Asasi UnIPSAS, mewakili Naib Canselor UnIPSAS. Yang turut hadir dalam majlis yang sama ialah Pengarah DBP Wilayah Tengah, Puan Nurul Julia Alani Henri, Dato’ Dr. Ahmad Munawar Abdul Jalil, Jawatankuasa DPMP, serta pegawai dari UnIPSAS dan DBP Wilayah Tengah.