Diterbitkan pada 22 Januari 2025, 11:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Episod pertama Program Cakna Bahasa: Mendekati Kesusasteraan Tamil yang disiarkan menerusi BERNAMA Radio pada semalam, telah membuka tirainya sebagai sebuah inisiatif yang penting dalam mempromosikan kesusasteraan Tamil di Malaysia.

Menurut Presiden Persatuan Penulis-penulis Tamil, Mohanan Perumal, sejak dilantik memegang jawatan tersebut pada Mei 2024, beliau telah memulakan beberapa siri kunjungan untuk bertemu dengan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Jelas beliau,

Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari, amat berbesar hati untuk memenuhi keperluan persatuan dalam usaha menterjemahkan karya-karya Tamil ke dalam Bahasa Melayu.

Mohanan turut berkongsi, hasil daripada perbincangan antara pihak Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia dengan DBP pada Disember lalu, sebuah Taklimat Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia telah diadakan. Taklimat ini bertujuan untuk memberikan pendedahan dan panduan secara rinci kepada ahli persatuan mengenai proses penterjemahan karya Tamil.

Cabaran utama dalam usaha penterjemahan adalah bagaimana untuk mengekalkan keindahan bahasa serta nilai budaya yang terkandung dalam karya asal.

“Secara peribadi, saya mahu penulis Tamil mempunyai mentaliti bahawa karya yang mereka hasilkan akan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu supaya dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia,” tambah beliau mengakhiri sesi temu bual bersama-sama BERNAMA.

Sebagai rekod, sejarah kesusasteraan Tamil yang bermula di Tamil Nadu, India, sekitar 2000 tahun yang lalu telah sampai ke Malaysia melalui masyarakat India yang berhijrah ke negara ini pada awal abad ke-19. Kehadiran mereka telah memperkayakan kepelbagaian bahasa dan budaya di Malaysia.

Program Cakna Bahasa: Mendekati Kesusasteraan Tamil ini merupakan hasil kerjasama erat antara BERNAMA Radio dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), yang bertujuan untuk memperkenalkan serta memperkukuhkan kesusasteraan Tamil di tanah air.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi