Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTanjung Malim – Penjelmaan idea melalui penulisan puisi memerlukan teknik yang tepat agar sesebuah karya yang ditukangi terhasil sebagai sebuah karya yang berkualiti.
Profesor Madya Dr. Ghazali Din atau lebih mesra dikenali sebagai Ihsan Noorzali, menyentuh berkenaan “harga” sebuah idea daripada pengarang lebih mahal nilainya berbanding karya itu sendiri melalui Bengkel Penulisan dan Deklamasi Puisi yang berlangsung pada 14 Disember, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Bengkel anjuran Pusat Kebudayaan UPSI ini diadakan bertujuan untuk mengasah bakat pelajar bukan sahaja dalam bidang penulisan sajak tetapi juga menyasarkan agar pelajar mengetahui asas-asas untuk menjadi seorang deklamator.

Melalui bengkel yang berlangsung secara tertutup kepada pelajar UPSI itu, pelajar turut didedahkan dengan teknik penulisan puisi yang berkesan. Kongsinya,
Idea itu sangat mahal. Apa-apa sahaja yang kita lakukan dalam hidup ini berbalik kepada idea. Oleh sebab itu, orang yang menulis karya kreatif merupakan orang yang bijaksana.
Dalam bengkel yang sama, Elvienie Petrus, pendeklamator yang tidak asing dalam dunia deklamator turut memberikan peluang kepada pelajar bagi mempelajari kaedah asas dalam mendeklamasikan puisi.
Elvienie menggunakan konsep praktikal dalam perkongsian ilmu tentang kaedah mendeklamasikan sesebuah sajak dengan memanggil seorang daripada peserta untuk mendeklamasikan sajak berdasarkan teknik asas yang diajarkan.