Diterbitkan pada 19 Disember 2024, 10:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Oleh: Siti Nur Salmi Sharuddin

Hulu Bernam – Sebanyak 55 orang pelajar tahun tiga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya menganjurkan Program Santun Masyarakat: Projek Eksplorasi Kata Nama Bahasa Melayu di bawah kursus KPG3013 Insan Guru Profesional pada 18 Disember 2024.

Melalui penganjuran program ini, pelbagai aktiviti interaktif seperti “Radio Rosak”, “Televisyen Rosak”, “Pilihlah Kamu”, “Lompatan Bermasalah” dan “Siapa Cepat Dia Dapat” diadakan sebagai usaha untuk meningkatkan pemahaman dan penggunaan kata nama bahasa Melayu dalam kalangan murid tahun lima.

Perasmian Projek Eksplorasi Kata Nama Bahasa Melayu telah disempurnakan oleh Guru Besar SK Hulu Bernam, Encik Harman Harun yang berlangsung di Dewan Anjung Budi, SK Hulu Bernam.

Sebagai seorang pendidik, Encik Harman Harun berharap program seperti ini dapat membantu murid dalam merealisasikan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi melahirkan masyarakat yang serba boleh sekali gus membentuk bakal guru yang mampu menjadikan medium pendidikan sebagai sesuatu lebih menarik.

Pada akhir program, penyampaian hadiah bagi kesemua kumpulan yang terlibat telah disampaikan oleh Encik Harman Harun dan Puan Norizan Ibrahim selaku Panitia Bahasa Melayu, SK Hulu Bernam.

Program yang melibatkan sebanyak 85 orang murid tahun lima ini melabuhkan tirainya dengan tayangan video montaj Program Santun Masyarakat: Projek Eksplorasi Kata Nama Bahasa Melayu sebagai penutup majlis.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi