Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangGombak – Program Riang Ria Warisan Budaya anjuran IKRAM Junior Gombak yang berlangsung pada 7 Disember lalu, telah menampilkan penulis buku bergambar kanak-kanak, Jannatun Nisa Jahasnum melalui sesi Read Aloud: Farah Belajar Bercakap Benar.
Menerusi sesi tersebut, kanak-kanak dididik tentang kepentingan berkata benar menerusi watak Farah serta kisah Nabi Luth yang dihalau keluar oleh kaumnya, namun baginda tetap berkata benar.
Riang Ria Warisan Budaya yang diadakan di Dewan Serbaguna Batu 12 ini, turut dimeriahkan lagi dengan penganjuran aktiviti seperti, persembahan silat, demonstrasi menyumpit dan menganyam oleh komuniti orang Asli.
Program yang bertujuan untuk membina dan memupuk persefahaman serta rasa saling hormat-menghormati yang mendalam terhadap warisan budaya masyarakat orang Asli dilihat penting untuk memelihara kekayaan budaya kumpulan etnik ini.
Dalam program yang sama, permainan tradisional yang semakin kurang mendapat tempat dalam kalangan kanak-kanak pada masa kini, turut dikembalikan sebagai satu daripada inisiatif untuk memelihara tradisi masyarakat agar mampu dihayati oleh generasi muda.
Antara permainan tradisional yang dianjurkan melalui program tersebut termasuklah, congkak, batu seremban dan permainan ceper.