Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Menjadi satu sejarah apabila tiga orang graduan Ijazah Sarjana Muda Penulisan daripada Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) menerima Anugerah Bitara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam Istiadat Konvokesyen ASWARA kali ke-19 yang berlangsung di MATRADE, Ahad lalu.
Sebagai rekod, sejak penubuhan ASWARA 30 tahun yang lalu, Anugerah paling berprestij yang diberikan DBP kepada pelajar terbaik setiap kali istiadat konvokesyen ASWARA ini tidak pernah diperolehi lebih daripada seorang pelajar.
Bagaimanapun, pada tahun ini sebanyak tiga orang pelajar yang terpilih bagi peringkat Ijazah Sarjana Muda dan seorang pelajar bagi peringkat Diploma.
Para pelajar yang terpilih pada tahun ini ialah Siti Raihana Rusdi (jurusan Penulisan Filem dan Televisyen), Nurul Izzah Mohammed Alkaf dan Nor Fadhilah Fauzan (jurusan Penulisan Kreatif) dan Nur Syazwina Romzi bagi peringkat Diploma Penulisan Kreatif.
Kriteria pemilihan Anugerah Bitara DBP ini berdasarkan kecemerlangan akademik yang mengambil kira Himpunan Purata Nilai Gred (HPNG) sepanjang pengajian; dan pelibatan, sumbangan dan kecemerlangan pelajar di luar kampus (di peringkat komuniti, kebangsaan dan antarabangsa).
Para pelajar yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Bitara DBP ini, masing-masing membawa pulang sijil penghargaan daripada ASWARA dan DBP, sebuah plak tajaan dan wang tunai berjumlah RM1,000 setiap seorang.
Bagi Siti Raihana, beliau berasa gembira dan puas dengan pencapaian dan merupakan satu kelegaan buatnya. Kongsinya ketika ditemui oleh Tunas Cipta,
Saya masih rasa tak percaya yang saya dapat anugerah ini, rasa lega umpama hilang segala beban di bahu yang selama ini saya pikul. Hadiah dan anugerah istimewa ini saya dedikasikan untuk ibu bapa, keluarga, para pensyarah yang tak jemu membimbing saya dan mereka yang ada dengan saya sepanjang perjalanan saya di ASWARA. Akhirnya, saya berjaya buat mereka semua bangga dengan saya!
Nor Fadhilah pula berkata beliau pada mulanya tidak menyangka akan memenangi anugerah ini.
Apabila Pegawai Penolong Pendaftar memberitahu saya dan dua orang kawan baik bahawa kami menerima anugerah yang sama, saya jadi terharu dan berasa sangat gembira. Selepas kemenangan tempat ketiga Pertandingan Bakat Siswa DBP, ini juga merupakan anugerah yang paling saya banggakan untuk tahun 2024.
Nurul Izzah ketika ditemui juga sempat memberikan komen bahawa beliau sangat gembira dan bersyukur.
“Saya bermula tanpa apa-apa pengetahuan tentang penulisan tetapi mampu menjadi antara yang terbaik dengan kawan-kawan yang baik, tiada yang lebih membahagiakan daripada itu,” ulasnya.
Dalam memastikan pencapaian akademik sentiasa berada di tahap yang memuaskan, ketiga-tiga pelajar ini sentiasa memastikan persaingan yang berlaku di antara mereka selama tiga tahun pengajian adalah secara sihat.
Kongsi Siti Raihana,
Mereka yang menang anugerah ini adalah sahabat seperjuangan saya sepanjang saya di ASWARA. Kami sama-sama berkongsi ilmu, pendapat dan masalah, pada saya ia ibarat suatu perjalanan bersama. Kami gemar bersaing dalam pelajaran sebab itu adalah satu persaingan yang sihat dan hasilnya sentiasa memberikan kesenangan dan kegembiraan buat kami, biarpun siapa lebih hebat, kami tetap meraikannya,
Saya mahu sampai ke garisan penamat bersama-sama mereka, itu saja matlamat saya, semuanya dengan izin Allah. Untuk persediaan setiap semester, saya cuma bersedia mental untuk cabaran seterusnya, selebihnya saya hanya mengaplikasikan ilmu sedia ada dan banyak meminta nasihat dan tunjuk ajar dari pensyarah-pensyarah dan mereka yang rapat sahaja.”
Bagi Nor Fadhilah pula, beliau dari dulu mengharapkan kemenangan anugerah ini menjadi miliknya disebabkan selama ini hanya seorang sahaja pelajar yang berjaya merangkul kejayaan ini.
Setiap semester saya akan pastikan pointer saya tidak kurang daripada 3.5. Walaupun ia agak sukar, kerana kaedah pembelajaran di ASWARA bukan sahaja belajar tapi kami juga perlu menjadi seorang pemain seni yang aktif. Saya perlu lebih gigih bagi membahagikan waktu belajar, menyiapkan tugasan dan kerja kesenian yang lain.
Setiap semester saya dan dua orang penerima (Siti Raihana dan Nurul Izzah) pasti ke pentas untuk menerima Anugerah Dekan. Kami akan bersaing sesama sendiri untuk memastikan setiap semester kami bersua muka di Majlis Anugerah Pelajar ASWARA (ACPA). Namun saya selalu menganggap bahawa persaingan yang paling sihat adalah bersaing dalam pelajaran. Saya gembira melihat rakan-rakan turut berjaya dan tidak pernah menyangka kami berjaya sampai semester terakhir dan mendapat Anugerah Bitara bersama-sama.
Nurul Izzah pula berkongsi bahawa beliau sentiasa konsisten membuat persediaan setiap semester dan cuba sehabis baik dan semampunya untuk fokus ketika proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung.
“Selain itu, saya akan mengulang kaji pelajaran sebelum menghadapi peperiksaan sama ada secara berseorangan atau bersama-sama rakan yang lain. Paling penting, saya kerap meminta reda dan doa ibu bapa saya terutamanya ketika saya mengalami kesukaran dalam pelajaran dan dikuasai rasa putus asa untuk meneruskan usaha saya dalam menuntut ilmu. Tiga perkara ini akan saya lakukan atau lebih tepatnya, wajib saya lakukan di setiap semester,” katanya.